Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka

MELAKA – Usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di sini sebagai pintu masuk pelancong hampir terkubur selepas tiada satu pun daripada tujuh syarikat penerbangan komersial berminat untuk beroperasi di situ.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada tujuh syarikat berkenaan.

Jelasnya, ini termasuk syarikat daripada Singapura dan Indonesia yang berbaki lima hari lagi sehingga akhir bulan ini.

“Sampai ke hari ini, semua syarikat penerbangan komersial itu belum beri maklum balas terhadap tawaran kerajaan negeri sebelum ini dan (mungkin) mereka tak berminat.

“(Kerana) operasi sebelum ini pun penumpang hanya ramai pada musim tertentu seperti perayaan dan cuti sekolah selain kedudukan LTAM yang terlalu dengan dengan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Hameed (kanan) mengedarkan pelekat Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kepada pelancong selepas melakukan tinjauan di Melaka Sentral, Jonker Walk dan Bangunan Stadthuys hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Melaka Sentral, Jonker Walk dan Bangunan Stadthuys di sini hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan kekecewaan orang ramai apabila LTAM menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan Ogos lalu apabila penerbangan komersial terakhir Pulau Pinang adalah pada Jun lalu manakala dari Pekan Baru, Indonesia 16 Ogos.

Susulan itu pada September lalu, Melaka menawarkan insentif kepada tujuh syarikat penerbangan komersial sekiranya mereka mahu beroperasi di LTAM sebagai timbal balas kerugian akibat kurang mendapat sambutan.

Mengulas lanjut, Hameed berkata kerajaan negeri bagaimanapun masih mengharapkan berita gembira daripada mereka sebelum 30 Oktober ini.

Ditanya adakah kerajaan sedia membuat tawaran ‘luar biasa’ untuk memastikan LTAM dapat beroperasi sempena TMM2024, beliau berkata akan berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kami akan berbincang mungkin untuk cari alternatif lain namun perlu tunggu Ketua Menteri pulang dari luar negara berkaitan misi pelaburan yang turut mempunyai kaitan dengan LTAM.

“Tapi setakat ini, LTAM sedia menerima mana-mana pesawat komersial termasuk yang ditempah khas untuk mendarat di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast