MELAKA – Ulama dan pendakwah antarabangsa memuji kelantangan Malaysia menyuarakan nasib rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa penindasan rejim zionis yang sepatutnya dicontohi negara Islam lain di seluruh dunia.
Pemimpin Majelis Nurul Musthofa, AlHabib Hasan Ja’afar As-Segaf dari Indonesia kagum melihat semangat luar biasa rakyat Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu itu.
“Kelantangan rakyat Malaysia (dan Perdana Menteri) terhadap isu Palestin ini sangat luar biasa dan harus jadi contoh kepada semua negara Islam di dunia supaya membantu saudara kita di Palestin.
“Ini adalah satu kekuatan Malaysia yang tidak perlu takut kerana doa yang dipanjatkan kepada Ilahi ini amat diperlukan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin Maulid Arbain Malam Ke-40 di Masjid Cina, Krubong di sini malam tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
Anwar ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil Selasa lalu mendedahkan beliau menerima banyak ugutan dari negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Namun tegas Perdana Menteri, Malaysia akan kekal bebas dan terus mempertahankan kebebasan negara dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.
Sementara itu, pendakwah Indonesia, AlHabib Ali Zaenal Abidin Faisal AlMadihij turut berkongsi pandangan sama dan berharap Anwar tidak berganjak dari pendirian itu sekali pun ditentang negara Barat.
“Malaysia tidak perlu takut dengan tekanan Barat bahkan harus lebih takut jika berundur, Malaysia akan berdepan musibah kerana tidak berjuang mempertahankan Islam.
“Mungkin juga kerana perjuangan ini, Allah memberikan keamanan di negara ini melalui ujian yang diturunkan terhadap rakyat Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette