Anggota Zon Maritim Lahad Datu menunjukkan barangan rampasan.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot yang membawa beras tanpa kebenaran yang sah berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, Sabah hari ini.

Bot disyaki cuba menyeludup beras keluar itu ditemui di kedudukan 0.4 batu nautika Barat Daya Telukan Sibet.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata,  bot ronda Zon Maritim Lahad Datu yang ketika itu sedang menjalankan rondaan OP Pluto Timur segera diatur gerak ke lokasi berkenaan kira-kira pukul 1.35 pagi tadi.

Menurut beliau, ketika tiba di kawasan berkenaan, dua buah bot pam berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa mendekati bot terbabit, suspek yang merupakan pengendali bot berkenaan dipercayai bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, anggota Zon Maritim Lahad Datu telah menemui beras pelbagai jenama seberat lebih kurang 1,520 kilogram disyaki cuba diseludup ke luar ke negara jiran.

“Bot serta barang rampasan dianggarkan lebih kurang RM24, 000 dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana disyaki membawa beras tanpa kebenaran yang sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast