KUALA LUMPUR – Amaran Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) membolehkan institusi kewangan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.
Menurutnya, FinTIP adalah pemberitahuan untuk berjaga-jaga yang dikeluarkan secara rutin kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama mereka yang berkaitan.
“FinTIP sentiasa memantau landskap siber dan akan memaklumkan tentang kemungkinan ancaman baharu termasuk peningkatan aktiviti penggodaman.
“Notis FinTIP membolehkan institusi kewangan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi melindungi sistem mereka dan mengelakkan sebarang kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bank Pusat itu mengulas mengenai notis FinTIP yang tersebar menerusi media sosial.
Namun ia tidak mengulas lanjut.
Menurutnya, BNM dan industri kewangan sentiasa berkongsi maklumat mengenai kemungkinan ancaman yang berlaku dalam ruang siber. – MalaysiaGazette