KUANTAN – Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah mangsa sindiket pemerdagangan manusia, Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, di Perkarangan Masjid Tengku Abdullah, Peramu di sini malam tadi.
Lebih menyayat hati apabila anak sulung allahyarham, Muhammad Nu’man Muhammad Izzat, 6, turut berdiri di saf paling depan menunaikan solat jenazah bapanya bersama lebih 700 jemaah lain.
Anak lelaki arwah tenang menunaikan solat jenazah seakan-akan memahami bapanya sudah tiada bersamanya.
Muhammad Nu’man kemudiannya dibawa mengiringi jenazah ke kubur bagi menyaksikan urusan pengebumian bapanya bersama keluarga.
Muhammad Izzat meninggal dunia di Tachileik, Myanmar pada 14 Oktober lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Peramu pukul 11.20 malam tadi.
Van jenazah membawa arwah tiba ke kampung kelahirannya di Peramu pukul 10.36 malam sebelum disembahyangkan dengan berimamkan abangnya sendiri, Mohd Hafiz Abdul Wahab.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chong Siang dan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.
Sementara itu, abang arwah, Muhamad Hasmanizam, 45, rasa bersyukur proses membawa jenazah selamat dari Myanmar.
Beliau mengucapkan terima kasih atas doa dan iringan keluarga, saudara mara serta sahabat handai yang menanti menyambut kepulangan adiknya di masjid.
“Saya pun tak sangka sehingga ramai yang sanggup datang menghantarkan jenazah ke kubur, memang tak jangka. Alhamdulillah apa amalan arwah adik sehingga dimuliakan sedemikian rupa,” katanya.
Jelas Hasmanizam, pihaknya bersyukur jenazah dimudahkan semasa dibawa pulang dalam proses kargo sehingga sampai ke kampung halaman.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 4.25 petang semalam, proses membawa pulang jenazah adiknya dari luar negara disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) selain pihak dibantu oleh kastam dan pengurusan Malaysia Airlines Holding Berhad (MAHB).
Bagi seorang lagi abang arwah, Mohd Hazwan, 35, pula berharap kematian adiknya mendapat husnul khatimah apabila mengenangkan sifat keperibadian rendah hati Muhammad Izzat.
“Segalanya berjalan dengan lancar, Allah telah mudahkan segalanya dengan pertolongan banyak pihak. Disebabkan kematian macam itu (menjadi mangsa pemerdagangan) tetapi Allah pilih untuk memuliakan dia (Izzat) dengan doa keluarga, sahabat, jiran seluruh rakyat yang mengenal atau tidak kenal dia.
“Kematian Pakdik (nama gelaran arwah) merupakan kematian yang dicemburui, keadaan yang sangat baik. Semasa hayatnya keperibadiannya sangat baik dan ada amalannya,” katanya sebak.
Muhammad Izzat meninggal dunia dalam tahanan polis di Taichileik selepas diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan 14 Oktober lalu.
Pihak perubatan forensik mengesahkan hasil bedah siasat dilakukan di Yangon mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.
Semasa hayatnya arwah merupakan bekas imam dan bilal Masjid Saidina Ali, Bukit Sekilau Kuantan serta Masjid Tepian Putra selain mengajar mengaji di beberapa tempat di Kuantan.
Dilahirkan 17 Jun 1995, arwah merupakan bekas pelajar tahfiz di Pondok Moden Bachok, Kelantan mencari rezeki dengan pelbagai kerja dilakukan seperti memotong rumput, menjual aiskrim, penghantar makanan dan membawa lori mencari rezeki halal.
Beliau merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: