KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima tamparan hebat selepas pemain pertahanan kacukan Bidayuh-Ghana, Rodney Calvin sah meninggalkan skuad Hijau Kuning meskipun mempunyai baki kontrak lagi semusim bersama Sang Kenari.
Perkhabaran mengejutkan itu disampaikan oleh seorang individu MHazriq Fahimy Abdullah dalam Facebook yang mana Rodney atau lebih dikenali sebagai Bonai mencapai persetujuan bersama pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal atas permintaan dirinya sendiri.
Dia juga memuatnaik gambar bersama pemain sambil menerima jersi Kedah.
“Tiga musim bersama Kedah, suka duka, jatuh dan bangun kita sudah rasa bersama. Berat hati melangkah pergi tetapi kehidupan serta perjuangan ini harus diteruskan.
“Rodney Celvin atau lebih mesra disapa Bonai, hadir untuk bersama Kedah sebagai pemain pinjaman dari Selangor pada musim 2021. Aksi kentalnya sebagai pertahanan tengah tidak perlu menunggu lama, berjaya memikat Coach Aidil Sharin Sahak serta para penyokong untuk melihat dia terus kekal bersama Kedah secara perpindahan tetap.
“Akhirnya impian Bonai dan para penyokong terlaksana, apabila musim 2022, Kedah berjaya mendapatkan Bonai secara tetap dengan kontrak tiga tahun sehingga 2024 dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.
“Bonai terus cemerlang bersama Kedah sehingga musim ini, walaupun pelbagai isu dalaman yang melanda, dia tetap fokus untuk memberikan yang terbaik. Rodney juga menjadi antara pilihan utama untuk Coach Nafuzi pada musim 2023 ini.
“Bonai kini telah memilih haluan baru. Meskipun masih mempunyai kontrak sehingga musim depan, Bonai dan pihak pengurusan melalui apa yang disampaikan, telahpun mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya dengan lebih awal sehingga musim ini atas permintaan dari Bonai sendiri,” tulisnya.
Rodney berkemungkinan akan beraksi dengan pasukan baharu ataupun pulang ke kampung halaman bersama Aidil Shahrin di Kuching City pada musim depan.
Sepanjang bergelar pemain profesional, Rodney telah mewakili tiga pasukan iaitu Sarawak FA, PKNS FC dan Selangor FC sebelum menyertai Sang Kenari.
Sebelum ini, Rodney pernah dilayangkan kad merah selepas secara tidak sengaja mengasari pemain import Perak FC, Seo Seo-nung sehingga mengakibatkan kecederaan patah hidung dalam perlawanan Piala Malaysia pada Ogos lalu.