PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang didakwa membunuh bapanya dan dihukum mati menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan memutuskan untuk menggantikan hukuman tersebut kepada penjara 35 tahun daripada tarikh tangkapan.
Bagaimanapun tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin mengetepikan rayuan tertuduh, Mohamad Nazri Abdullah untuk dilepas dan dibebas daripada sabitan.
Sebaliknya, kesalahan mengelar bapa sendiri oleh perayu enam tahun lepas di Felda Lui Timur, Negeri Sembilan masih dianggap sebagai kesalahan serius.
“Rayuan perayu terhadap sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ditolak dan mahkamah ketepikan hukuman mati dan digantikan dengan hukuman penjara 35 tahun.
“Mahkamah juga mengambil kira fakta perayu menjaga bapanya yang baharu keluar dari hospital dan tiada motif pembunuhan, tarikh hukuman bermula dari tarikh perayu ditangkap,” katanya pada prosiding hari ini.
Perayu yang juga mualaf ditangkap pada 4 Julai 2017 kerana telah menyebabkan kematian bapanya, S Valaytham, 76, pada 2 Julai 2017, antara jam 10.30 malam hingga 11.20 malam.
Ketika itu mayat Valaytham seorang peneroka ditemui anggota polis peronda yang ke rumah mangsa selepas menerima maklumat jiran mengenai pergaduhan.
Difahamkan pertengkaran berlaku apabila tertuduh meminta wang daripada bapanya, namun tidak diendahkan sehingga bertindak mengelar bapanya. – MalaysiaGazette