Pembungkusan semula beras putih tempatan di sebuah kilang beras di Kuantan. - Gambar Hiasan

KUANTAN – Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) bagi negeri Pahang dilancarkan hari ini sehingga 3 November depan.

Selain pemeriksaan stok BPT di premis, operasi itu turut meliputi pengambilan sampel beras untuk dianalisa.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Pahang, Hamizan Musa berkata, ia bagi memastikan pembungkusan BPT yang diproses di sesebuah kilang itu bukan beras import seperti dakwaan segelintir masyarakat.

Hamizan Musa

“Sampel yang diambil itu akan dihantar kepada makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisa dan keputusannya akan dimaklumkan kepada pengilang dan pembekal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi yang dijalankan di kilang pemprosesan BPT, Mumtaz Iman Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Operasi tersebut membabitkan badan KPB, Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Hamizan Musa (kiri) bersama wakil agensi penguatkuasa Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) di Mumtaz Iman Sdn Bhd, Kuantan hari ini

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan 4 Oktober lalu, mesyuarat bersetuju menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.

Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522]. – MalaysiaGazette