KUALA LUMPUR – Ischaemic heart diseases atau sakit jatung koronari yang disebabkan oleh kekurangan bekalan darah kepada otot jantung kekal sebagai punca kematian utama di Malaysia tahun lalu dengan 20,322 kematian atau 16.1 peratus yang disahkan secara perubatan.

Penyakit itu atau Ischaemic heart diseases telah menjadi kematian utama di negara ini sejak lebih dua dekad yang lalu kecuali pada 2021 disebabkan Covid-19.

Sebanyak 13,817 (18.2%) kematian disebabkan oleh Ischaemic heart diseases adalah dalam kalangan lelaki, manakala sebab
kematian utama bagi perempuan adalah pneumonia iaitu 7,201 (14.3%).

Ketua Perangkawaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sakit jantung koronari merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana Melayu (17.3%), Cina (14.7%) dan India (21.1%) kecuali bumiputera lain yang merekodkan pneumonia (11.5%) sebagai sebab kematian utama.

Selain sakit jantung koronari, pneumonia, strok dan kemalangan pengangkutan, terdapat juga keunikan sebab kematian mengikut etnik dalam kedudukan 10 sebab kematian utama seperti diabetes mellitus yang lebih sinonim dengan kematian bagi etnik Melayu dan India, manakala kanser adalah sebab kematian dalam kalangan etnik Cina.

“Amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan sakit jantung koronari pada masa kini. Ini disokong oleh kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu sakit jantung koronari berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol.

“Faktor risiko utama penyebab penyakit ini adalah termasuk merokok, paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes
dan faktor usia. Selain itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga.

Selain sakit jantung koronari, beberapa penyakit tidak berjangkit lain seperti strok, darah tinggi dan diabetes mellitus turut disebabkan oleh amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.

“Manakala, pneumonia yang merupakan sebab kematian kedua tertinggi di Malaysia adalah disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria dan virus di paru-paru, tetapi boleh berlaku juga disebabkan kulat atau parasit. Pneumonia adalah radang atau inflamasi yang berlaku pada paru-paru,” ujarnya.

Ketua Perangkawan turut berkata, sebab kematian utama bagi penduduk berumur 41-59 tahun dan 60 tahun dan lebih adalah sakit jantung koronari masing-masing pada 20.0 peratus dan 16.7 peratus. Selain itu, kemalangan pengangkutan merupakan sebab
kematian utama bagi penduduk berumur 15-40 tahun (19.2%), manakala pneumonia adalah sebab kematian utama bagi penduduk berumur 0-14 tahun (4.0%).

Selain itu, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 13.3 peratus diikuti strok (7.2%), Covid-19
(4.2%) dan nahas pengangkutan.

Selain daripada lima sebab kematian utama, statistik menunjukkan kematian y ang disebabkan oleh kanser turut meningkat sejak tahun 2001 daripada 5,231 kematian kepada 15,901 kematian pada 2022.

Mengulas lanjut, katanya, semua negeri di Malaysia merekodkan sakit jantung sebagai sebab kematian utama pada tahun 2022 kecuali Sabah dan Sarawak yang merekodkan pneumonia pada tahun yang sama.

Kelantan merekodkan peratusan tertinggi sakit jantung tertinggi iaitu 23.3 peratus diikuti Perlis (23.1%) dan Melaka (20.0%).

Sakit jantung koronasi juga merupakan sebab kematian utama di 73 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi direkodkan di daerah Bera,
Pahang dengan 26.9 peratus.

Sementara itu, pneumonia merupakan sebab kematian utama di 67 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Kecil
Lojing, Kelantan (24.4%).

Selain itu, strok direkodkan sebagai sebab kematian utama di 11 daerah, manakala pernafasan kronik direkodkan di dua daerah, darah tinggi di dua daerah dan kanser paru-paru di satu daerah (Belaga, Sarawak). – MalaysiaGazette