KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada mesyuarat Dasar Monetari, Khamis ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, langkah itu bagi mengelakkan kejutan dan tekanan kepada pasaran
“Kami percaya BNM akan membuat keputusan untuk tidak menaikkan OPR pada Khamis ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ansari percaya, unjuran ini sudah dijangkakan.
Tambahnya, sektor perumahan dan kewangan gembira apabila kadar faedah jatuh kerana kedua-duanya tidak suka kejutan.
“Semua penunjuk menunjukkan Malaysia tidak memerlukan kadar yang lebih tinggi. Inflasi terkawal dan pertumbuhan ekonomi telah menjadi reda.
“Oleh kerana BNM antara yang pertama di dunia mula menaikkan kadar dalam kitaran ini, Malaysia dapat mengatasi inflasi tanpa kemelesetan. Itu adalah baik untuk pasaran perumahan.
“Ringgit telah jatuh rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ada yang menggesa BNM meningkatkan OPR untuk membantu membendung kejatuhan ringgit.
“Kadar faedah lebih rendah di Malaysia berbanding di AS mendorong ramai pelabur memindahkan wang mereka ke AS untuk pulangan tunai yang lebih tinggi dan bon.
Walaupun dengan meningkatkan OPR, BNM boleh mengharapkan ringgit mendapatkan semula sebahagian daripada nilainya tetapi BNM masih boleh melakukannya pada tahun 2024,” katanya dalam kenyataan di sini.