Mohd Fauzi menunjukkan ayam mentah dijual pada harga RM9.40 sekilo meskipun pengapungan harga ayam bermula hari ini.

GEORGE TOWN – Tiada kenaikan mendadak harga ayam segar di sekitar negeri ini meskipun kerajaan menamatkan pemberian subsidi dan harga kawalan bagi bahan mentah itu bermula hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam Bayan  Baru, Taman Tun Sardon, Chowrasta, Jalan Patani, Farlim dan Balik Pulau, di sini, mendapati ayam standard dijual pada harga RM9.40 sekilogram manakala harga di Pasar Pulau Tikus RM8.50 sekilogram dengan harga berkenaan tidak berubah berbanding semalam.

Bagaimanapun, rata-rata peniaga berharap harga ayam kekal pada paras siling dan tidak melonjak naik memandangkan harga kini tidak lagi dikawal oleh kerajaan.

Menurut peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru, Mohd Fauzi Haris, 56, harga jualan runcit kekal pada RM9.40 sejak seminggu lalu dan pihaknya tidak berdepan situasi kekurangan bekalan selepas pengumuman pengapungan harga ayam.

Mohd Fauzi.

Jelasnya, bagaimanapun, sebagai peniaga dia tidak memberi jawapan sama ada akan berlaku kenaikan harga atau tidak selepas ini memandangkan mereka hanya tahu harga ayam daripada pemborong secara harian.

“Saya tak boleh nak kata harga akan kekal atau naik selepas ini kerana harga itu akan ditetapkan dan akan dimaklumkan pemborong setiap pagi ketika mereka membuat penghantaran.

“Macam saya sekurang-kurangnya sehari akan buat tempahan 300 ekor ayam dan bila dapat bekalan itu baru saya akan tentukan harga runcit jualan hari berkenaan.

“Namun saya berharap harga ini kekal pada paras RM9.40 kerana jika berlaku kenaikan mendadak bukan saja membebankan pembeli malah kami peniaga turut berdepan kesukaran dari segi penjualan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Mohd Fauzi, dia masih mengenakan caj potong ayam RM0.30 untuk menampung kos lain-lain seperti pekerja dan plastik.

Bagi Samsul Bahari, 50, pula, dia masih memperoleh harga sama daripada pembekal, sekali gus membolehkannya menjual ayam kekal pada harga runcit RM9.40 hari ini.

Tinjauan jualan ayam di Pasar Awam Taman Tun Sardon.

“Baru hari ini pengapungan harga ayam bermula jadi tak boleh nak kata harga ayam akan kekal atau naik.

“Cuma pembeli masih datang seperti biasa hari ini dan jualan ayam tidak terjejas setakat ini,” katanya yang menjalankan perniagaan jualan ayam segar di Pasar Awam Taman Tun Sardon sejak 35 tahun lalu.

Sementara itu, peniaga makanan berasaskan ayam di Kompleks Makanan Bayan Baru, Norizan Nordin, 44, berkata, dia akan mengekalkan jualan ayam goreng pada RM2 seketul meskipun berlaku kenaikan harga ayam selepas penamatan subsidi kerajaan.

“Sebelum ini saya jual RM1 seketul ayam namun disebabkan saya menerima bekalan ayam daripada peniaga pada harga tidak menentu memaksa saya menaikan jualan kepada RM2.

Norizan.

“Baru enam bulan saya naikan harga ini (RM2) dan InsyaAllah saya akan kekal pada harga ini kerana pembeli pun akan tertekan jika harga jualan dinaikkan,” katanya.

Bagi peniaga nasi kenduri, Abd Rahim Mohd Ali, 60, berkata, dia menjual ayam goreng pada harga antara RM5 hingga RM7 mengikut potongan manakala ayam dalam masakan pula RM6 hingga RM8.

Abd Rahim.

“Harga jualan ini sudah kekal lama dan saya mengambil sikap tunggu dan lihat penjualan ayam mentah untuk memutuskan sama ada harga jualan kami akan kekal atau sebaliknya.

“Kenaikan harga ini bukan boleh buat suka hati kerana kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada mereka yang berpendapat sederhana, jadi kalau naik akan membebankan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette