PETALING JAYA – Minggu Solidariti Palestin mencetuskan pelbagai reaksi dengan sesetengah pihak berpendapat Minggu Patriotik dan Minggu Kemanusiaan adalah lebih sesuai dijalankan di sekolah.
Pada masa yang sama, keputusan sebuah sekolah Cina mengadakan program solidariti dengan menayangkan video kekejaman perang juga dianggap lebih sesuai berbanding mempamerkan senjata permainan.
Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Goh Tian Chuan mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan membatalkan Minggu Solidariti Palestin selepas program itu mencetuskan pelbagai polemik.
Beliau berkata, dalam keadaan tidak dikendalikan dengan baik dan kekurangan garis panduan yang bersesuaian dengan nilai pendidikan, program itu harus dihentikan segera.
Beliau juga berpendapat bahawa lembaga pengurus sekolah aliran bahasa Cina harus memantau isu berkenaan dan program yang tidak bersesuaian harus dielakkan.
“Hakikatnya untuk seorang murid sekolah rendah, isu konflik antarabangsa, konflik agama dan perang merupakan sesuatu yang besar dan jauh,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Sinchew Daily.
Ujarnya, untuk murid sekolah rendah, program patriotik atau aktiviti yang mempromosikan kedamaian dan nilai kasih sayang adalah lebih sesuai.
Katanya lagi, berdasarkan video-video yang tersebar di Internet, sesetengah aktiviti solidariti di sekolah adalah tidak munasabah khususnya yang mempamerkan senjata permainan.
Sementara itu, seorang kolumnis Sinchew Daily, S.K. Tan mencadangkan supaya Minggu Solidariti Palestin digantikan kepada Minggu Kemanusiaan.
“Konflik antara negara sukar difahami oleh rakyat negara lain. Tidak kira apa jua cara penyelesaiannya, kami berharap tiada perang berlaku dan tiada orang awam yang terjejas.
“Tidak salah untuk menyokong Palestin tetapi ada juga rakyat Israel yang tidak menyokong perang, mereka tidak sudi tetapi terpaksa menanggung akibatnya apabila orang sesama kaum melakukan kesalahan.
“Minggu Solidariti Palestin dicadangkan ditukar kepada Minggu Kemanusiaan dengan program yang menyemai anak dengan sikap tidak membeza-bezakan antara orang tetapi semua nyawa harus dilindungi, ” katanya.
Sementara itu, Sinchew Daily dalam satu rencana editorial menggesa supaya cara yang aman digunakan untuk mempromosikan keamanan.
“Kementerian Pendidikan adalah berniat baik supaya pelajar dapat memahami hak asasi manusia dan belajar mengasihi melalui perkembangan dunia, tetapi keadaan tertentu semasa pelaksanaan telah menimbulkan kontroversi.”
Rencana itu turut menyebut Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chong Kuang di Jawi, Pulau Pinang telah mengadakan Minggu Solidariti Palestin baru-baru ini dalam keadaan aman.
“Pihak sekolah menayangkan video untuk menunjukkan penderitaan akibat perang dan mempromosikan keamanan dunia.
“Untuk mempromosikan antiperang, cara seperti ini semestinya lebih baik berbanding berpakaian seperti militan dan memegang senjata permainan.” – MalaysiaGazette