Rohizan menunjukkan empat buah lori tangki yang dirampas pihaknya menerusi Op Taring Landai di Kedah semalam.

GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel ke negara jiran selepas menahan enam lelaki di sebuah premis di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

Operasi yang dilakukan Unit Risikan Marin Kuala Kedah/ Perlis kira- kira 7.30 pagi itu turut membawa rampasan minyak diesel di dalam empat lori tangki bernilai RM1.2 juta.

Timbalan Komander PPM Wilayah Satu, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, enam suspek berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun yang ditahan itu terdiri daripada dua warga Thailand manakala empat warga tempatan.

Rohizan.

Jelas beliau, masing-masing mereka terdiri daripada seorang penjaga premis manakala lima lagi pemandu lori tangki.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif dalam kegiatan penyeludupan diesel rentas sempadan sejak empat bulan lalu.

“Siasatan lanjut mendapati lori-lori kecil milik orang tempatan akan digunakan untuk mengisi diesel di stesen minyak sekitar Perlis dan Kedah sebelum ia dipindah ke dalam lori tangki syarikat tempatan.

“Bagaimanapun, lori tangki itu akan dipandu ke sebuah premis yang terletak kira-kira lima kilometer dari pintu sempadan sebelum bahan api itu dipindah ke lori tangki negara jiran,” katanya pada sidang media di PPM Wilayah Satu di Batu Uban di sini hari ini.

Sindiket menjadikan premis di kawasan perindustrian sebagai lokasi pemindahan minyak diesel.

Tambah Rohizan, pihaknya tidak menolak kemungkinan diesel itu dipindah masuk ke lori tangki negara jiran bagi memudahkan proses keluar masuk di pintu sempadan.

“Siasatan lanjut berhubung penglibatan orang lain dalam kes ini masih dijalankan dan kes diserahkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDN, katanya. – MalaysiaGazette