Tan Sri Mohamed Apandi Ali Attorney-General termination Mahathir Mohamad government suit
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menolak saman fitnah berjumlah RM10 juta oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Tan Sri Lim Kit Siang berkaitan artikel 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apandi merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman tersebut.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk M Gunalan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut.

Apandi sebelum ini mendakwa Kit Siang telah menulis artikel bertajuk ‘Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity’ yang kemudiannya disiarkan dalam sebuah portal berita.

ketua pembangkang Lim Kit Siang rasuah PRN
Lim Kit Siang

Apandi mendakwa, artikel itu telah memfitnah beliau dengan membawa maksud seolah-olah beliau bersubahat, tidak bermoral kerana terbabit kegiatan jenayah terutama skandal 1MDB.

Beliau juga mendakwa artikel itu seolah-olah menyifatkannya tiada integriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Peguam Negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apandi menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Apandi terhadap veteran DAP itu dan beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan keesokan harinya. -MalaysiaGazette