ACP Arifai Tarawe

SEREMBAN – Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan tersangkut pada ranting kayu di anak sungai berhampiran loji kumbahan Kampung Felda Sendayan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat lelaki dipercayai berumur lewat 40-an itu pada 9.30 pagi.

“Mayat tanpa pakaian itu disyaki dihanyutkan arus deras. Tiada tanda khusus pada mayat itu, namun berdasarkan warna kulit, lelaki berkenaan dipercayai berbangsa Cina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Arifai meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Rubama Lawasa menerusi talian 013-3144250 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban 06-6033222. – Bernama