Gambar yang dimuat naik Zambry di Facebook menunjukkan beliau memeriksa barangan yang akan diterbangkan ke Kaherah menerusi ops Ihsan ketika melawat gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM) di Bandar Serenia, Sepang, lewat malam tadi.

KUALA LUMPUR – Bantuan awal peringkat pertama sumbangan ke Palestin menerusi Ops Ihsan dijadual akan diterbangkan ke Kaherah pukul 10 malam ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Kadir berkata, bantuan itu berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan sementara penghantaran bantuan makanan lain akan menyusul kelak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 45 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia yang terlibat dalam misi Ops Ihsan itu sehingga membolehkan penghantaran bantuan berkenaan dapat dilaksanakan.

“Kementerian Luar Negeri sebagai koordinator dalam memastikan setiap jenis bantuan yang diperlukan, proses pengumpulan dan penghantaran yang dilakukan menjadi lebih teratur dan teliti.

“Terima kasih kepada semua NGO, sukarelawan dan pihak yang terlibat dalam misi kali ini yang pertama kali berjaya mengumpulkan NGO-NGO ini di bawah satu bumbung bergerak bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau membuat posting tersebut selepas melawat gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM) di Bandar Serenia, Sepang, lewat malam tadi.

Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh Kementerian Luar bersama 45 buah NGO, antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, ABIM, Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, barangan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan itu akan diterbangkan dengan kapal terbang kargo yang disewa khas oleh kerajaan Malaysia ke El-Arish, Mesir.

Ia kemudian diserah kepada Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk menerusi sempadan Rafah sebelum disalurkan kepada penduduk Gaza melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Menurut Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari, operasi dua hari pada Sabtu dan Ahad lepas melihat penglibatan 800 orang sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat yang menyumbang kudrat dalam membantu urusan penerimaan, pengasingan, pengumpulan data sehingga kepada penyusunan barangan di dalam kotak-kota yang telah disediakan.

“Ini adalah usaha yang amat baik dan dinanti-nantikan untuk semua NGO bekerjasama dan bergerak selari dengan hasrat kerajaan dalam aspek penyegeraan penyaluran bantuan kemanusiaan di mana-mana tempat, keadaan dan masa.

“Muafakat kerja di bawah Ops Ihsan ini telah menghasilkan perhimpunan yang amat bermakna untuk Malaysia menzahirkan kata-kata semangat dan sokongan padu ke atas perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya. – MalaysiaGazette