MELAKA – “Saya mohon doa semua semoga ada keajaiban dari Allah supaya anak lelaki saya, Muhammad Noah yang kini sedang koma sihat seperti biasa.
“Kejadian ini amat mengejutkan namun saya serahkannya kepada pihak polis untuk lakukan siasatan sama ada benar dia diabaikan pengasuh atau ada punca lain,” kata bapa kepada bayi berusia setahun itu, Muhammad Azizan Mohd Sahat, 31, ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, walaupun sedih dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu namun dia dan isteri, Nurul Fatihah Mohd Fauzi, 30, redha dengan ketentuan Allah.
Harapannya Noah yang kini koma sejak 31 Oktober lalu disebabkan pendarahan dalam otak yang tidak nampak secara luaran dan fizikal sejak 31 Oktober lalu segera sedar dan pulih.
“Fokus utama saya ketika ini hanya mahu melihat anak bongsu kami sedar dan tidak mahu lagi fikirkan tindakan selanjutnya terhadap pihak taska kerana kes pun masih dalam siasatan polis.
“Hati bapa mana tidak sedih memikirkan anak sihat tiba-tiba jadi begini sebab itu saban hari saya tak putus-putus mendoakan Noah segera pulih dan berharap semua dapat mendoakan anak saya,” kata bapa kepada dua anak dan yang sulung berusia tujuh tahun.
Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan sembilan hari kritikal selepas dipercayai diabaikan pengasuh sebuah taska di Taman Pertam Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, kejadian disedari bapa bayi berkenaan yang dihubungi pemilik taska pukul 9.30 pagi Selasa memaklumkan mata anaknya itu tiba-tiba menunjukkan tanda seperti diserang sawan ketika sedang mandi.
Menurutnya, pada 27 Oktober lalu, bayi tersebut pernah dilaporkan terjatuh di taska sama sehingga bengkak di dahi dan lebam di pipi yang hanya diketahui selepas kejadian terbaru Selasa lalu.
Susulan kejadian itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil langkah menyita taska berkenaan yang baru berpindah ke lokasi baru itu sejak 1 Ogos lalu.
Tindakan itu selepas mendapati taska di rumah teres setingkat semi-D itu tidak berdaftar dengan JKM yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: