MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia 12 bulan 9 hari kritikal dipercayai diabaikan pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Pertam Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari bapa bayi berkenaan yang dihubungi pemilik taska pukul 9.30 pagiĀ memaklumkan mata anaknya itu tiba-tiba menunjukkan tanda seperti diserang sawan ketika sedang mandi.
Bapa bayi yang berusia 30 tahun itu kemudian bergegas ke taska berkenaan dan membawa anaknya ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Bayi itu yang tidak sedarkan diri itu terpaksa di tahan di zon merah kerana mengalami pendarahan di kepala.
“Pada 27 Oktober lalu, anaknya itu pernah terjatuh di taska sama sehingga bengkak di dahi dan lebam di pipi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa bertanyakan punca kejadian kepada wanita yang juga pemilik taska berkenaan pada malam kejadian.
“Pemilik taska tersebut mendakwa kecederaan berlaku selepas anaknya terjatuh dari kerusi bouncer dan terlanggar kerusi tersebut.
“Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat Bahagian Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya.
Sementara itu tinjauan MalaysiaGazette di taska berkenaan mendapati ia dipercayai masih beroperasi seperti biasa susulan terdapat suara tangisan kanak-kanak di dalam rumah.
Turut kelihatan adalah dua buah kereta dipercayai milik pekerja taska terbabit yang diletakkan di hadapan premis rumah teres setingkat berkembar berkenaan. – MalaysiaGazette