Gambar hiasan: Israel turut menyasarkan ambulans yang membawa pesakit di Gaza.

TEL AVIV – Regim Israel meluahkan kemarahan terhadap Afrika Selatan selepas negara itu bertindak memanggil pulang diplomat sebagai protes keganasan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Jurucakap Kementerian Luar Israel Lior Haiat mendakwa, tindakan Afrika Selatan itu merupakan langkah menyerahkan ‘kemenangan kepada Hamas’.

“Keputusan Kerajaan Afrika Selatan untuk memanggil balik kakitangan diplomatiknya adalah kemenangan bagi pertubuhan Hamas dan memberi ganjaran atas pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pada 7 Oktober.

“Israel mengharapkan Afrika Selatan mengutuk Hamas, yang lebih teruk daripada ISIS, dan menghormati hak Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan yang mengerikan yang telah terukir pada benderanya seruan untuk kemusnahan Negara Israel,” kata Haiat penuh kemarahan.

Afrika Selatan menjadi negara kelapan menarik diplomat dari Israel selepas negara Zionis itu melancarkan serangan yang telah membunuh lebih 10,000 nyawa orang awam yang tidak bersalah.

Menteri dalam Kepresidenan Afirka Selatan, Khumbudzo Ntshavheni pada hari Isnin mengumumkan keputusan mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 1 November untuk menarik keluar diplomat dari Israel.

“Kabinet juga telah mengambil perhatian kenyataan penghinaan berterusan Duta Israel ke Afrika Selatan mengenai mereka yang menentang kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai kerajaan Israel.

“Pembunuhan beramai-ramai di bawah pengawasan masyarakat antarabangsa tidak boleh diterima,” kata Ntshavheni.

Duta Israel ke Afrika Selatan Eliav Belotserkovsky muncul di media Afrika Selatan termasuk penyiar awam dalam beberapa minggu kebelakangan ini sebagai usaha untuk membenarkan perbuatan negara itu membunuh rakyat Palestin.

Negara yang telah menarik keluar diplomat dari Israel termasuk Chad, Turki, Bolivia, Honduras, Chile, Colombia dan Jordan.-Agensi

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast