Dr Mohd Yadzil Yaakub

MELAKA – Pembangkang Melaka mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam mencadangkan pelantikan jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini bagi sesi 2024- 2026.

Ketuanya, Dr. Yadzil Yaakub berkata, tindakan itu jelas merupakan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau yang tidak seharusnya berlaku.

“Mengapa dalam urusan pentadbiran rumah Allah, mereka yang bukan Islam dilibatkan dan pernahkah kita dengar orang Islam dirujuk terlebih dahulu dalam penentuan jawatankuasa rumah ibadah agama lain?

“Kenapa bila berkaitan masjid dan surau kita izinkan agama lain mengatur apa yang ekslusif kepada umat Islam?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga ADUN Bemban berkata demikian mengulas kewajaran makluman itu yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui pekeliling bertarikh 25 Oktober lalu.

Surat itu memaklumkan ADUN kawasan bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Bagaimanapun bagi kawasan ADUN pembangkang iaitu Bemban dan Sungai Udang, penyelaras Japerun bertanggungjawab terhadap cadangan
itu.

Mengulas lanjut, Dr Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, Islam menggalakkan mereka berkawan dengan orang bukan Islam tapi bukanlah sehingga menggadaikan kepentingan kepada bangsa atau agama lain.

“Inikah normalisasi kerajaan hari ini yang hasilnya perlu diterima rakyat dan umat Islam selepas UMNO berdakapan dengan DAP?

“Ingat, sarang tebuan usah dijolok. Padah akibatnya,” katanya. – MalaysiaGazette