KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan parti itu tidak pernah menjadi ahli pertubuhan antarabangsa, Liberal International.
Anwar berkata, PKR tidak menyertai Liberak International apabila pertubuhan tersebut mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan rejim Israel.
“Soal Liberal international, Yang Berhormat boleh semak kita tidak pernah menjadi anggota.
“Kita pada peringkat awal (menjadi) associate, tapi oleh kerana ada beberapa keputusan mereka termasuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta pendirian (menyokong) Israel, kita tidak menjadi ahli,” jawab Anwar dalam Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri itu menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta parti itu menyatakan penjelasan samada PKR pernah menjadi ahli Liberal International yang jelas menyokong rejim Israel.
Anwar juga mengesahkan beliau pernah menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa Liberal International di Kaherah, Mesir, antaranya turut disertai ketua parti pembangkang di Mesir ketika itu, Ayman Nour; wakil Ikhwan al Muslimim (Muslim Brotherhood) Mahdi Akif, dan Mohamed Morsi (sebelum beliau menjadi Presiden Mesir).
Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel.
Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada 1947 dan menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berjkata, parti itu tidak pernah menjadi ahli atau anggota Liberal International.
Fahmi mengakui, baru-baru ini ada percubaan terancang untuk mengaitkan PKR dengan pertubuhan gabungan parti-parti iaitu Liberal International. – MalaysiaGazette