Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah.

KUALA LUMPUR – MIC hari ini tampil dengan kenyataan supaya kerajaan akan membuat pertimbangan membuat pengumuman tol percuma memandangkan masyarakat India di negara ini akan menyambut Deepavali pada Ahad ini.

Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah berkata, ramai dalam kalangan masyarakat India sangat berharap supaya kerajaan diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan ‘khabar gembira’ itu.

Kata Murugiah, sudah ada juga segelintir yang bimbang terpaksa berdepan dengan perbelanjaan tinggi menjelangnya Deepavali tahun ini apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

“Ramai berharap akan adanya pengumuman berkaitan tol percuma ini kerana ramai akan ambil peluang untuk pulang ke kampung halaman memandangkan akan ada cuti panjang untuk merayakan Deepavali dengan sanak saudara.

“Sebelum-sebelum ini juga memang ada pengumuman terutamanya ketika sambutan Hari Raya dan Tahun Baharu Cina. Kita sangat harap akan adanya berita baik berkaitan tol ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dewan Rakyat sebelum ini diberitahu, cadangan  pengecualian bayaran tol sempena Deepavali yang bakal disambut hujung minggu ini sedang dalam perbincangan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara perkara yang diteliti adalah aspek perkongsian kos dengan syarikat pengendali lebuh raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast