Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara KEMAS dan Yayasan Pahang Bagi Melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS di Pusat Kegiatan Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Modul Pra Tahfiz Tabika Kemas mensasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak yang mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha serta bersedia masuk ke Tahun Satu menjelang akhir sesi persekolahan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang 2026, Tabika Kemas mampu melahirkan seramai 100,000 huffaz kanak-kanak.

“Patik percaya dengan wujudnya Modul Pra Tahfiz di Tabika Kemas sekurangnya akan lahirlah generasi cilik al-Quran akan datang yang berupaya membela agama, berbakti kepada bangsa dan membawa rahmat kepada sekalian ummah. Kemuncaknya akan lahirlah tamadun Islam yang unggul.

“Patik menyembah maklum, umat Islam perlu menyedari bahawa untuk berteduh di bawah payung rahmat Allah, kita hendaklah terlebih dahulu memperbaiki diri, bersatu serta bersepakat dalam menegakkan hukum Allah.

“Menyedari hakikat ini, patik selaku wakil KKDW, mengambil inisiatif untuk mewujudkan program Tabika Pra Tahfiz dan merupakan salah satu Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tahun 2023 dalam membangun modal insan desa secara komprehensif bagi memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz Kemas, di Pusat Kegiatan Masyarakat Kampung Seri Batu, di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, al-Sultan Abdullah Riayatuddin al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyaksikan majlis tersebut.

Ia turut dihadiri, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pendidikan al-Quran merupakan teras utama dalam kejayaan kanak-kanak beragama Islam selain daripada kemahiran sedia ada yang diperlukan.

Tambahnya, pertukaran memorandum itu menyaksikan terbentuknya kerjasama antara Kemas dan Yayasan Pahang yang mempunyai intipati antaranya melibatkan penggunaan modul hafazan Tadika Tahfiz negeri Pahang, khidmat nasihat dan perakuan sijil kompetensi kepada para pengajar.

Perkara-perkara lain yang turut terkandung katanya iaitu, perakuan sijil tamat modul kepada pelajar Tabika Kemas, penubuhan jawatankuasa pemantauan Kemas Yayasan Pahang dan penyediaan tenaga pengajar. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sebab itu saya kerjasaama dgn cina2 kristian howard lee, jimmy puah, david nga kor ming dan menolak bangsa Melayu Islam. hehe penunggang agama umno huffaz akan jadi guru quran dap.

Comments are closed.