Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit pasir merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 2.6 peratus bagi kebanyakan kawasan pada April 2024 berbanding bulan sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peningkatan tertinggi di kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (2.6%), diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.2%) serta Terengganu dan Kelantan (0.9%).

Indeks harga seunit batu baur juga mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Perbandingan bulanan mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi besi bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.5%) dan Tawau (-0.4%).

Sementara itu, terdapat peningkatan kecil dalam indeks harga bahan ini di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Kota Kinabalu (masing-masing 0.5 peratus).

Perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada April 2024.

Namun begitu, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (1.9%).

Perbandingan tahunan untuk tempoh April 2023 dan April 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 1.9 peratus hingga 7.1 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (7.1%), diikuti oleh Terengganu & Kelantan (5.7%), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (4.4%) dan Tawau (2.2%).

Jabatan Perangkaan berkata, purata harga simen kekal tidak berubah berbanding Mac 2024 dengan purata harga RM23.01 per 50 kg sekarung.

Manakala purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon
60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.5%) dengan
purata harga RM3,702.88 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya
(Mac 2024: RM3,683.51 per tan metrik). – MalaysiaGaze