Gambar hiasan

JASIN – Seorang kerani bank kerugian RM585,700 selepas menjadi mangsa terbaru penipuan pelaburan tidak wujud awal bulan lalu.

Kejadian bermula apabila wanita berusia 52 tahun itu berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Oktober yang memperkenalkan diri sebagai pegawai perunding pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa yang tidak pernah mengenali dan bertemu wanita itu kemudian telah diberi penerangan mengenai skim pelaburan itu

“Mangsa dijanjikan memperolehi keuntungan sebanyak RM15,467 hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam sahaja jika melabur RM300.

“Selepas dijanjikan pulangan segera itu, kerani bank terbabit bersetuju membuat transaksi RM300 ke dalam satu akaun peribadi lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

Tambahnya pengadu yang menyangkakan sudah memulakan pelaburan MIDA kemudian melakukan lagi 64 transaksi pemindahan wang ke dalam 31 pemilik akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan RM585,400.

“Mangsa menggunakan segala sumber kewangannya termasuk daripada Tabung Haji, simpanan tetap bank, Amanah Simpanan Bumiputera (ASB) malah turut menggadai beberapa barang kemasnya.

“Tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan suami dan anaknya dan mangsa hanya menyedari ditipu pada 27 Oktober lalu apabila diberitahu syarikat telekomunikasi meminta bayaran pendahuluan berjumlah RM10,000 bagi tujuan pelaburan itu,” katanya.

Ahmad Jamil berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Selasa lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah percaya dengan mana-mana iklan pelaburan tidak sah dan boleh membuat semakan melalui aplikasi ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk menyemak mengenai sindiket penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast