KUALA LUMPUR – Bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung belia ke Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023, dua agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makakanan (KPKM) akan menganjurkan pertanding e-sukan.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bekerjasama dalam menganjurkan acara dwi-tahunan itu sebagai daya tarikan bagi pendedahan kepada golongan muda.

“Di bawah segmen Agro Millenia, NAFAS dan NEKMAT menyediakan platform bagi anak-anak muda untuk menunjukkan bakat serta memupuk semangat berpasukan dan bekerjasama dalam permainan sukan elektronik, Mobile Legends yang semakin popular di pada masa kini.

 

“Syarat penyertaan adalah secara berkumpulan dan peserta berpeluang memenangi hadiah terkumpul sebanyak RM10,000,” kata kedua-dua agensi tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

HPPNK 2023 akan berlangsung bermula 10 hingga 12 November 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Wang tunai RM3,000 serta trofi dan sijil penyertaan bakal dibawa pulang juara manakala juara harian juga akan memenangi wang tunai.

“Para pengunjung yang hadir berpeluang untuk bertemu penggiat profesional e-Sukan seperti Ikuto, Sir Cloud dan Aiman Laphel menerusi sesi temu mesra.

“Selain itu, pengunjung juga boleh merasai pengalaman bermain permainan bola sepak FIFA 2024 secara percuma melalui platform PlayStation 5,” katanya lagi.

Lebih menarik, pelbagai hadiah cabutan bertuah istimewa turut disediakan buat pengunjung yang bernilai sehingga RM10,000.

Selain pertandingan e-sukan, NAFAS turut mengadakan jualan prodduk jenama Peladang dan juga input pertanian di segmen Agro Madani antaranya, baja sebatian berskala kecil jenama Peladang, baja khas yang diformulasi untuk tanaman durian bagi peringkat anak benih dan juga kit pertanian bandar.

Paling istimewa, pengunjung yang membeli 10 bag baja durian satu kilogram akan menerima satu kit pertanian bandar secara percuma.

“Di segmen Agro Teknologi dan Inovasi pula, pengunjung boleh melihat secara dekat dan mendapatkan maklumat mengenai jentera pelbagai fungsi yang direka khusus untuk kerja-kerja di sawah, ladang sawit dan kawasan pertanian,” jelas kenyataan itu lagi.

Kali terakhir Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan ini diadakan adalah pada tahun 2019. – MalaysiaGazette