CEO Maritime Network, Datuk R. Jeyendran menyerahkan replika cek kepada CEO Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri selepas program PLATFORM MG Suara Malaysia Untuk Palestin di Datum Jelatek Shopping Mall, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Program PLATFORM MG terbitan MalaysiaGazette bertemakan Suara Malaysia Untuk Palestin bukan saja menarik kehadiran orang ramai malah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM66,000 untuk Tabung Cinta Gaza Malaysia.

Program yang berlangsung di Datum Jelatek Shopping Mall malam tadi menerima sumbangan terbesar sebanyak RM50,000 daripada Datuk R. Jeyendran yang merupakan CEO Maritime Network.

Sementara itu, Datumcorp International Sdn Bhd menyumbang RM10,000; Pejabat Timbalan Perdana Menteri, RM5,000 dan Faizin International Travel & Tours, RM1,000.

PLATFORM MG menampilkan empat panelis iaitu Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd tahir; Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri; Pendukung Kemanusiaan, Tai Zee Kin dan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ahmad Faezal Mohamed.

Berlangsung selama dua jam, program PLATFORM MG turut membuka ruang kepada kira-kira 200 hadirin untuk bertanyakan soalan kepada para panel serta mengemukakan pandangan berhubung keganasan rejim zionis di Gaza sehingga mengorbankan lebih 10,000 nyawa.

PLATFORM MG dijayakan dengan kerjasama rakan strategik Datumcorp International Sdn Bhd akan bersiaran sekali setiap bulan bakal menampilkan pelbagai topik dan perbicangan pelbagai isu semasa dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette