Ubaidullah Shamsul Fazili. Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) menerusi terus membuktikan pasukan itu penuh dengan bakat berkualiti musim ini apabila muncul seorang lagi pemain skuad pelapis yang kini beraksi bersama skuad senior dalam Liga Super.

Seawal usia 19 tahun nama Ubaidullah Shamsul Fazili sudah tercatat sebagai pemain utama ketika menentang KL City pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia baru-baru ini dengan menunjukkan kematangan melewati usianya.

Tidak sampai lagi semusim penuh bersama skuad TFC II yang beraksi dalam Piala MFL, Ubaidullah telah dipanggil untuk menyertai TFC oleh kerana aksinya yang cemerlang ketika ini.

Malah faktor siri kecederaan dan prestasi tidak bagus beberapa pemain pertahanan utama TFC juga mendorong untuk keberadaan dia di skuad utama TFC sekarang ini.

Ubaidullah merupakan graduasi dari skuad Projek FAM-MSN dan langkah yang cepat dan tepat telah dilakukan barisan pengurusan untuk terus menjadikan pemain ini aset yang sangat berharga untuk TFC.

Ubai merupakan bekas kapten kedua dari skuad yang berjaya direkrut TFC selepas Safwan Mazlan. Kini kedua mereka sudah berada di skuad senior TFC dan ia adalah satu kemajuan karier yang bagus untuk pemain muda.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini juga merupakan tonggak utama skuad Malaysia Bawah 23 tahun di bawah bekas jurulatih, E. Elavarasan.

“Pengalamannya sangat luas di peringkat bawah umur, namun di peringkat senior sebegini beliau perlukan sedikit masa lagi untuk mengadaptasikan gaya permainannya tahap yang lebih tinggi ini.

“Terkenal dengan baka seorang Ball Playing Defender, iaitu baka yang sangat ‘mahal’ bagi seseorang pertahanan. Pada kebiasaanya seorang CB (centre back) yang bersifat Ball Playing yang baik, tidak akan kekok untuk diposisikan di Full Back kerana beliau selesa dengan bola. Sebagai contoh Pep Guardiola melakukan tranformasi posisi ke atas Nathan Ake dari seorang pemain Ball Playing CB kepada Left Back.

“Lebih memahalkan bakat Ubai ini, beliau adalah seorang pemain yang berkaki kiri iaitu kaki yang ‘limited’ bagi pemain bola sepak,” memetik laporan Facebook Analisis Bola Tranung.

Peminat bola sepak kini boleh menyaksikan sendiri aksinya yang nampak matang dan Ubaidullah adalah pemain yang melewati usianya.

Dia nampak selesa di posisi tersebut kerana sifat ball playing yang ada padanya. Namun seperti biasa, sebagai pemain muda, perjalanan Ubaidullah masih jauh dan jangan mudah berpuas hati dengan prestasi semasa.

Masih banyak lagi yang perlu diusahakan untuk menjadi pemain yang lebih baik dari hari ini. Ini baru permulaan jalan untuk mengetuk pintu panggilan senior kebangsaan suatu hari nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast