Suasana di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023.

SEREMBAN – Suasana penuh ceria di Karnival Deepavali Negeri Sembilan di sini, menjelang persiapan akhir menjelang perayaan Pesta Cahaya esok.

Tinjauan MalaysiaGazette di karnival ini mendapati para pengunjung yang majoritinya penganut Hindu sibuk membeli-belah pelbagai barangan.

Seorang peniaga pakaian tradisional, A. Surya, 47, berkata, kedainya menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli baju baharu yang bakal dipakai pada sambutan Deepavali.

“Perniagaan saya mendapat lebih sambutan berbanding tahun lepas. Hasil jualan mencecah RM200 hingga RM250 sehari pada hari bekerja dan RM500 hingga RM600 pada hujung minggu,” katanya.

Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 sebelum ini diadakan di Jalan Dato’ Lee Fong Yee telah dipindahkan ke Taman AST.

Surya berkata, tempat baharu ini menawarkan ruang parkir yang lebih besar, sekali gus memberi keselesaan kepada para pengunjung.

Sementara itu, penjual barangan hiasan , R. Kokila, 37, berkata, peningkatan jumlah gerai kepada 150 gerai menjadi faktor utama yang menarik lebih banyak pengunjung ke karnival itu.

“Lokasi yang lebih luas ini memberi ruang kepada penganjur untuk menempatkan 150 gerai, berbanding dengan hanya 90 gerai di lokasi lama.

“Sejak berpindah ke lokasi baru dengan lebih banyak gerai, perhatian pelanggan semakin bertambah dan perniagaan saya turut meningkat berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.

 

N. Gopinath

Seorang lagi peniaga, N. Gopinath, 40, berkata, beliau merupakan generasi ketiga yang mewarisi bisnes ini sejak 45 tahun lalu, telah membuka gerai di karnival Deepavali selama 13 tahun.

Beliau yang mengushakan muruku dan hidangan manisan berkata, pendapatan jualan harian antara RM200 hingga RM400 pada awal beberapa hari karnival.

Namun, beliau menjangkakan hasil jualan akan mencecah sekitar RM10,000 pada hari ini, hari terakhir karnival yang berlangsung selama 10 hari.

Perniagaannya bermula seawal 10 pagi hingga 12 malam menawarkan pelbagai jenis hidangan tradisional untuk dinikmati semasa sambutan Deepavali.

Menurutnya, banyak pelanggan tetap turut memberi sokongan dan membeli produknya walaupun ada lokasi perniagaan berubah.

“Ramai pelanggan juga gembira kerana lokasi ini lebih selesa untuk membeli-belah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast