Dialog 1:
Abu: Kamu belajar apa dekat universiti?
Ahmad: Aku belajar kaunseling
Abu: Ooo mesti kamu pandai bagi ceramah motivasi kan…nak jadi pakar motivasi ke
Ahmad: ……………krik…krik……
Dialog 2:
Julia: Kamu belajar apa dekat universiti?
Sofia: Aku belajar kaunseling…
Julia: Mesti kamu boleh baca pemikiran orang lain kan…cuba kamu baca fikiran aku sekarang…
Sofia: ………… Krik…krik…….
INI adalah antara perbualan yang biasa didengari dan dialami oleh pelajar kaunseling dan psikologi. Kami tidak menyalahkan orang yang mengatakan sedemikian, ini mungkin kerana mereka tidak memahami apa itu kaunseling dan psikologi. Penulisan kali ini cuba menerangkan tentang tingkah laku kaunseling (yang boleh diperhatikan dalam setiap orang) dan profesion kaunseling.
Kaunselor adalah satu profesion bagi seseorang yang telah tamat pengajian dalam bidang kaunseling sama ada diperingkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah dan yang paling penting berdaftar sebagai kaunselor berdaftar (professional) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Ramai orang awam selalu mengaitkan kaunselor adalah pakar motivasi dan pandai memberi ceramah motivasi. Tapi hakikat sebenarnya bukan begitu. Untuk menjadi seorang pakar motivasi ianya tidak memerlukan apa-apa kelulusan yang khusus dalam sesuatu bidang.
Sesiapa sahaja boleh memberi ceramah motivasi yang bertujuan untuk memberi rangsangan motivasi pada orang lain. Pakar motivasi perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengucapan awam yang baik dan juga melengkapkan ilmu pengetahuan berkaitan perkara yang diucapkan. Walaupun tugas kaunselor salah satu daripadanya adalah untuk membantu klien mendapatkan semula motivasi, tetapi ianya tidak dilakukan dengan memberi ceramah.
Kaunselor akan membantu klien dengan melaksanakan sesi kaunseling individu atau kaunseling kelompok. Dalam sesi kaunseling, kaunselor akan meneroka dan
cuba memahami isu yang sedang dialami oleh klien dan kaunselor akan membantu klien mendapatkan celik akal (insight) dan secara tidak langsung klien akan mendapatkan kesedaran dan motivasi diri mereka. Sesiapa sahaja boleh jadi penceramah motivasi tapi tidak semua orang boleh jadi kaunselor.
Adalah satu bonus dan nilai tambah bagi seorang kaunselor sekiranya mampu memberi ceramah motivasi yang berlandaskan ilmu pengetahuan yang sebenar, bukan menyebarkan dakyah pseudo psikologi/kaunseling. Kaunselor atau ahli psikologi juga sering kali dikaitkan dengan kemampuan untuk membaca pemikiran manusia. Ini adalah satu kenyataan yang salah. Kaunselor dan ahli psikologi didedahkan dengan tingkah laku, emosi dan pemikiran manusia. Tujuan semua itu adalah
bertujuan untuk memahami bagaimana sesuatu tingkah laku, emosi dan pemikiran manusia berlaku dan ianya berdasarkan teori-teori yang telah dibuktikan dengan mengkut disiplin ilmu yang ketat.
Penting bagi kaunselor untuk memahami semua ini kerana ketika melaksanakan sesi kaunseling, kaunselor akan cuba mengaitkan isu yang sedang dihadapi
oleh klien dengan teori-teori kaunseling dan psikoterapi untuk memahami perkara sebenar yang dihadapi oleh klien. Kaunselor dan ahli psikologi tidak berkemampuan untuk membaca pemikiran manusia apatah lagi menduga sesuatu di masa hadapan. Sesi kaunseling bukan sesi “membawang”, mengorek rahsia orang lain. Sesi kaunseling dalam erti kata yang sebenar adalah mendengar, memahami dan membantu klien memahami isu yang sedang dialami. Tidak dinafikan dalam sesi kaunseling, kaunselor akan meneroka dengan lebih mendalam tentang klien, tapi semua itu dibuat adalah untuk memahami isu sebenar klien, bukan “saja-saja” nak korek rahsia klien.
Kaunselor terikat dengan etika kerahsiaan. Seorang kaunselor tidak boleh dengan sewenang-wenangnya untuk mendedahkan rahsia klien kepada orang lain. Seorang kaunselor yang professional amat faham akan perkara ini kerana pemikiran mereka telah dipasak dengan etika ini. Kaunselor tidak “membawang” kepada orang lain seperti mana orang lain “membawang” cerita orang kepada orang lain untuk jadikan ianya tular dan sensasi. Apabila seorang kaunselor meninggal dunia dan disaat mengebumikannya, bukan hanya mengebumikan jasadnya semata-mata tapi mengebumikan juga rahsia-rahsia klien. Benarlah kata pepatah “biar pecah di perut, jangan pecah di mulut”.
Mendengar seorang kaunselor bukan hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Seorang kaunselor telah dilatih secara komprehensif dan dilatih berkali-kali untuk
memastikan mampu mendengar dengan baik. Kaunselor dilatih bagaimana untuk mensintesiskan maklumat yang didengar sebelum untuk memberi respon yang tepat
terhadap isu yang dikongsi oleh klien. Semua orang mampu mendengar, tapi tidak semua mampu menjadi pendengar yang baik. Setakat ini sahaja penulisan pada kali ini, moga pembaca dapat lebih memahami kaunseling dan dapat menghilangkan salah faham tentang peranan kaunseling dan kaunselor.
Mohd Fahrizal Asmy Bin Mohd Ali Kb. Pa.
Pensyarah Kaunseling
Jabatan Sains Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial
Universiti Sultan Azlan Shah.