KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima permohonan maaf oleh seorang pemilik akaun TikTok dikenali sebagai @syukfendi berhubung penularan imej pembaca berita mereka yang menjelikkan.
Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata, hasil semakan pasukannya mendapati rakaman video asal berita terbabit yang disiarkan melalui platform RTMklik dan siaran di televisyen pada petang hari berkenaan tidak seperti yang ditularkan.
“Video yang tular itu seolah-oleh disunting semula, terutama solekan di bahagian lingkaran mata penyampai berita berkenaan.
“Bagaimana pun pandangan atau perkara yang sengaja ditularkan dengan sedikit tokok tambah adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, RTM bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas individu terbabit memuatnaik kenyataan maaf di platform media sosial.
“Kami mengingatkan pengguna-pengguna media sosial khususnya TikTok lebih cakna dan bijak dalam memuatnaik hantaran di akaun masing-masing pada masa hadapan,” katanya.
Kelmarin, individu terbabit memuatnaik rakaman siaran lintas langsung Berita Wilayah bagi zon Selatan dari studio RTM Melaka yang bersiaran pukul 5 petang.
Klip yang dimuat naik berdurasi 18 saat itu memaparkan penyampai berita RTM Melaka (bukan pengacara seperti didakwa), Nor Amalina Abdul Halim disolek menyerupai pelakon filem seram Indonesia, mendiang Suzanna.
Terdahulu, sebuah portal hiburan terkenal turut memetik hantaran individu terbabit yang menerima pelbagai reaksi dari netizen.
Isu ini turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman apabila turut memuatkan kenyataan ini menerusi Instagramnya. – MalaysiaGazette