KUALA LUMPUR – Bukit Aman akan merakamkan percakapan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berkaitan video berunsur fitnah dan hasutan membabitkan beberapa pemimpin DAP esok.
Proses itu akan dijalankan pada jam 11 pagi di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, setakat ini polis menerima enam laporan berkaitan kes tersebut.
Siasatan akan dijalankan di bawah Sekyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.
Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Siti Mastura dalam satu rakaman video di satu majlis mendakwa Kit Siang yang juga bapa Guan Eng adalah sepupu bekas Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, manakala Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew pula sepupu Lim Kit Siang serta mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Beliau juga mendakwa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa Kok mempunyai hubungan kekeluargaan. – MalaysiaGazette