Anthony Loke Siew Fook

MELAKA – Malaysia sedang memperluaskan lagi sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV) yang tidak hanya terhad di darat malah menjadi pengeluar bot atau feri EV sebagai pengangkutan laut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kejayaan itu membolehkan negara menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat pengeluar bateri selain pemasangan kenderaan EV.

“Pemasangan kenderaan EV ini adalah potensi yang cukup besar untuk Malaysia perluaskan lagi EV bukan hanya untuk kenderaan darat, tapi juga menggunakan konsep bot elektrik.

“Sekarang kita dah ada kepakaran dan kemahiran kejuruteraan untuk membina bot EV oleh anak-anak tempatan dan ini satu inovasi cukup baik bagi merendahkan penggunaan karbon,” katanya.

Anthony (tengah) menyaksikan prototaip bot EV, HydroGlyder oleh syarikat Yinson GreenTech di Composites Technology City, Batu Berendam, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan prototaip bot EV, HydroGlyder oleh syarikat Yinson GreenTech di Composites Technology City, Batu Berendam di sini hari ini.

Mengulas lanjut Anthony berkata, walaupun prototaip Hydroglyder dihasilkan adalah untuk memenuhi pasaran Singapura, sebagai bot transit membawa kru kapal kargo ke pelabuhan, ia juga boleh digunakan di Malaysia pada masa hadapan.

Jelasnya, ia sejajar dengan komitmen kerajaan memastikan pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ menjelang 2050.

“Akan datang, Malaysia juga boleh perkenalkannya untuk pasaran negara seperti bagi perkhidmatan feri penumpang di antara pulau-pulau antaranya Langkawi, Tioman, Pulau besar dan Pangkor.

“Jadi semua operator feri ini mereka ada pilihan untuk gunakan bot EV ini yang juga merupakan satu trend hala tuju yang mesti kita lalui,” katanya. – MalaysiaGazette.