KEPALA BATAS – Polis mengesahkan menerima dua laporan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaan yang tidak berasas dan berunsur fitnah melibatkan Tan Sri Lim Kit Siang dan keluarga beliau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kes tersebut daripada seorang lelaki tempatan.

“Kedua-dua laporan itu telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan, Perak untuk tindakan susulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis mengambil serius berkenaan kenyataan oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak sahih mengenai sesuatu isu yang dimuat naik menerusi media sosial kerana boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan memaklumkan proses merakam keterangan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu dijadualkan esok jam 11 pagi di Bukit Aman.

Razarudin berkata, setakat hari ini enam laporan polis sudah diterima berkait kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jumaat lepas, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memaklumkan beliau melalui peguamnya sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas pemimpin wanita Pas itu gagal membuktikan dakwaannya pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu. – MalaysiaGazette