Nooryana Najwa Najib
Nooryana Najwa Najib ketika berucap pada Program Pulangkan Najib di Dataran Baitul Tariq, Klebang Permai, Melaka malam tadi.

MELAKA – Penyokong Datuk Seri Najib Razak mahu melihat hasil yang konkrit daripada usaha kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menegakkan keadilan untuk bekas Perdana Menteri itu.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, mereka tidak mahu melihat pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara itu terus dizalimi.

“Sehingga sekarang saya masih setia kepada UMNO dan BN, mereka nasihat… Yana sabar, kita sabar.

“Tetapi sudah 15 bulan janganlah nak sabar lama sangat,” katanya ketika berucap pada Program Pulangkan Najib di Dataran Baitul Tariq, Klebang Permai di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO mengingatkan bahawa Najib sentiasa bersedia membantu mana-mana pihak yang dalam kesusahan semasa beliau masih menjadi perdana menteri dan Presiden UMNO dahulu.

“Sekarang beliau dalam kesusahan, kita harus membantu beliau,” jelasnya.

Nooryana Najwa turut berkongsi kisah sedih mengenai sikap pihak tertentu yang menjauhkan diri daripada Najib dan keluarganya selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, beliau memberitahu, sebahagian daripada mereka pura-pura tidak mengenalinya ketika bertemu.

“Sewaktu Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, berderet-deret orang tunggu nak jumpa beliau.

“Selepas BN kalah pada 2018 ada yang sekat WhatsApp, bila kita telefon tak jawab, kita tengok di Instagram dan Facebook, mereka unfollow,” katanya.

Nooryana berkata, perkara itu menyebabkan mereka sekeluarga mengenali siapa yang benar-benar menjadi kawan ketika dalam kesusahan.

Pada masa yang sama, beliau menghargai bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Mohamad Ali Mohamad yang telah membuktikan jati dirinya sebagai sahabat setia Najib.

“Bukan Yana nak puji Datuk Ali tetapi beliau salah seorang sahabat setia yang mengadakan majlis solidariti bersama Bossku apabila beliau dipenjarakan.

“Saya datang ke Tangga Batu, saya berucap di sini, Datuk Ali menjadi tuan rumah pada masa itu,” katanya. – MalaysiaGazette