Penduduk dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

IPOH – Penduduk di Kampung Sri Kinta, dekat sini tidak menyangka kejadian hujan lebat berterusan lebih daripada lima jam pada Isnin mengakibatkan kediaman mereka dinaiki air.

Salah seorang mangsa, Rokiah Tehak berkata kejadian banjir itu disifatkan paling terburuk sejak dia mendiami kampung berkenaan sejak 40 tahun lalu.

Penduduk dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

“Hujan mula turun sekitar jam 4 petang kemudian ia terus lebat pada sekitar jam 7 petang, dan tidak berhenti sehingga malam.

“Rasa macam terlalu pantas apabila sedar-sedar, air sudah naik sampai ke paras betis. Kami tiga beranak dalam rumah ketika itu memang tidak sempat hendak selamatkan barang-barang rumah

“Boleh dikatakan satu lori juga barang kelengkapan rumah rosak dan terpaksa dibuang,” katanya ketika ditemui MG Perak, di Kampung Sri Kinta pada Selasa.

Penduduk Kampung, Rokiah Tehak ketika ditemu bual wartawan MG Perak di lokasi Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Menurut, suri rumah, Syuhada Izhar pula, ketika kejadian dia berada di Klebang sebelum dimaklumkan keluarga bahawa rumah mereka mula dinaiki air.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, keadaan bertambah buruk apabila cuaca hujan tidak berhenti dan menyebabkan paras air memenuhi ruang rumahnya sehingga ke paras dada.

Salah seorang mangsa, Syuhada Izhar ketika ditemu bual wartawan MG Perak menceritakan detik-detik cemas berlaku banjir pada rumah beliau di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

“Barang seperti tilam, sofa, katil, tilam, barangan elektrik semua terjejas kerana kami tidak sempat hendak selamatkan.

“Ini bukan kali pertama berlaku sebaliknya kerap juga banjir di sini, namun ini paling terburuk,” ujarnya lagi.

Penduduk dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Sementara itu, Ketua Kampung Sri Kinta, Ahmad Fadzil Ahmad Puad ketika ditemui berkata dianggarkan sekitar 35 rumah di kampung berkenaan dan sekitar terjejas akibat banjir.

Katanya kejadian itu difahamkan berpunca daripada peningkatan aras air di Sungai Kinta yang berhampiran serta limpahan air dari kolam tadahan di kampung tersebut.

Ketua Kampung Sri Kinta, Ahmad Fadzil ketika ditemu bual wartawan MG Perak di lokasi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Justeru beliau memohon agar pihak berwajib dapat menambah baik sistem pam air di kolam tadahan di Kampung Sri Kinta agar insiden sama tidak lagi berulang.

“Kebanyakan longkang dari kawasan berhampiran mengalir ke kolam tadahan di Kampung Sri Kinta sebelum ia dipam untuk dialirkan ke Sungai Kinta.

Penduduk dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

“Namun, kejadian malam tadi menyebabkan pam berkenaan tidak mampu menampung jumlah kemasukan air yang terlalu banyak sebelum menyebabkan ia melimpah dan banjir.

“Oleh itu, saya memohon agar pihak kerajaan negeri dapat menambah baik atau menambah pam air yang baharu di kolam tadahan tersebut,” jelasnya.

Penduduk dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Pada masa sama, tinjauan MG Perak di lokasi pagi tadi mendapati situasi banjir sudah surut dan tiada kejadian banjir genang.

Penduduk mengambil kesempatan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir yang turut dibantu anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sukarelawan terdiri daripada penduduk kampung serta pelajar-pelajar dari Tahfiz Al-Khalidiah.

Penduduk dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Hujan lebat yang berpanjangan melanda Perak menyebabkan kejadian banjir di beberapa kawasan termasuk di sekitar Ipoh.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 237  mangsa banjir dan ribut ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Kampung Sri Kinta, sebuah PPS telah dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta pada jam 8.30 malam dan menempatkan 19 mangsa dari empat keluarga.-MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir kilat Gerik: 25 rumah dan empat rumah kedai dinaiki air