Wan Azlina Wan Adnan

KUALA LUMPUR – Dua ahli keluarga mangsa buli pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan dipanggil polis untuk memberi keterangan, petang ini.

Mereka diminta datang memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields jam 4 petang hari ini, kata Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia, Wan Azlina Wan Adnan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, kedua-dua mereka dipanggil susulan laporan polis yang dibuat oleh wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru MCKK terhadap keluarga tersebut.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kes ini melibatkan buli pelajar tingkatan 4 dan tingkatan lima.

Sebelum ini, tular di laman Instagram yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior.

Turut ditularkan sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di platform media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam kenyataannya, polis sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan pada 24 September lalu.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan dipukul empat pelajar tingkatan lima.

Akibat kejadian itu mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berprestij itu. – MalaysiaGazette