LONDON – Manchester United dan Tottenham Hotspur bakal menerima tawaran lumayan daripada kelab Arab Saudi apabila jendela perpindahan dibuka pada Januari depan, lapor The Telegraph.
Akhbar itu melaporkan, bintang buangan United, Jadon Sancho dan penyerang Spurs, Richarlison menjadi sasaran utama untuk berhijrah ke Liga Pro Saudi dalam usaha menambah koleksi bintang dunia yang beraksi di sana.
“Liga Pro Arab Saudi kini sedang memuktamadkan pembiayaan untuk jendela perpindahan seterusnya tetapi kelab sudah mengintai bintang serangan baharu daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada tahun baharu.
“Dengan sasaran jangka panjang melibatkan bintang paling cemerlang iaitu Mohamed Salah dan Song Heung-min yang sudah pasti sukar dibawa keluar pada pertengahan musim, Sancho dan Richarlison muncul sebagai sasaran utama untuk kelab Arab Saudi pada Januari nanti.
“Sancho dan Richarlison masing-masing menjadi bintang buruan Arab Saudi pada menjelang penghunjung jendela perpindahan musim panas lepas, namun pemain sayap United itu tidak menunjukkan minat manakala Tottenham tidak terlintas untuk membenarkan pemain Brazil mereka berhijrah.
“Bagaimanapun, masih dapat dilihat sama ada pendirian pemain akan berubah, namun kelab Arab Saudi bersedia menguji situasi sekali lagi menjelang jendela Januari nanti,” katanya.
Ketika ini, Liga Pro Saudi dipenuhi dengan bintang seperti Karim Benzema, N’Golo Kante dan Ruben Neves menyertai Cristiano Ronaldo di negara itu. – Agensi