Dr. Leelavathi Muthupalaniappe (kiri) memberi penerangan mengenai jerawat kepada pesakitnya.

KUALA LUMPUR – Pesakit yang berhadapan dengan masalah jerawat perlu mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan terjadinya parut kekal.

Menurut Profesor Madya Dr. Leelavathi Muthupalaniappen, Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebanyak 50 peratus jerawat terjadi pada muka dan hampir 70 peratus daripada orang yang mempunyai jerawat akan mengalami komplikasi parut sekiranya mereka tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurutnya, jerawat dan parut jerawat boleh menjejaskan penampilan, menyebabkan kehilangan keyakinan diri, menimbulkan rasa malu, serta mencetuskan gangguan emosi.

“Dalam sesetengah kes yang serius, jerawat juga boleh menyebabkan masalah kemurungan pada pesakit,” katanya.

Tambahnya, terdapat pelbagai jenis parut jerawat yang perlu diketahui oleh pesakit seperti parut dangkal, parut berlubang, parut tebal, bintik hitam, dan juga keloid.

Dr. Leelavathi berkata, rawatan untuk parut jerawat tidak begitu berkesan untuk memulihkan kulit kembali pada keadaan asal sebaliknya keberkesanan rawatan ini hanya sekitar 10 ke 30 peratus sahaja.

“Pilihan cara perawatan untuk parut juga sangat terhad, memerlukan beberapa sesi, bergantung pada keluasan kawasan kulit yang dirawat dan harganya agak mahal.

“Fillers, laser dan chemical peel adalah antara pilihan cara perawatan untuk parut jerawat. Setiap jenis rawatan memerlukan masa rehat atau downtime di mana kulit akan mengalami kesan rawatan seperti kemerahan atau bengkak selama berberapa hari atau minggu sebelum tindak balas terhadap rawatan reda.

“Sebagai contoh, rawatan laser boleh menyebabkan kulit menjadi merah dan memerlukan masa selama satu atau dua minggu sebelum kulit pulih dari kesan perawatan dengan sepenuhnya. Beberapa sesi rawatan ulangan juga diperlukan sehingga mendapat hasil yang diingini. Pesakit perlu tahu mengenai pilihan rawatan yang sedia ada dan kesan sampingan setiap jenis rawatan serta mendapatkan rawatan dari doktor yang berpengalaman dan bertauliah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa rawatan untuk jerawat adalah berasaskan tahap jerawat iaitu ringan, sederhana dan serius.

Jerawat kategori ringan adalah apabila jerawat meliputi kurang daripada 50 peratus permukaan kulit dan pesakit yang mengalami jerawat ringan hanya memerlukan ubat sapu pada kulit.

Manakala jerawat kategori sederhana adalah apabila lebih 50 peratus permukaan kulit terjejas dengan jerawat di mana pesakit memerlukan kombinasi ubat makan antibiotik dan ubat sapu.

Bagi kategori jerawat serius pula, seperti jerawat-batu, pesakit memerlukan ubat makan khas iaitu Isotretinoin. Tempoh rawatan dengan ubat adalah antara tiga hingga enam bulan, katanya.

Tambahnya lagi, kesan kejayaan rawatan dengan ubat hanya boleh dapat dilihat selepas enam hingga lapan minggu rawatan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya berjaga-jaga apabila mencuba petua orang tua dengan menguna bahan semulajadi atau poduk yang tidak berdaftar sebagai rawatan untuk jerawat.

Menurut kajian kes beliau, produk semula jadi seperti serbuk kayu manis dan jus limau boleh menyebabkan tindak balas negatif terhadap kulit dengan menjadikan kulit merah atau meninggalkan kesan warna hitam.

Beliau juga menyangkal beberapa mitos tentang jerawat yang sekian lama sebati dalam masyarakat.

“Mitos dan masyarakat memang tidak boleh dipisahkan termasuklah hal berkaitan dengan jerawat. Masyarakat perlu dididik agar salah faham ini tidak terus berlaku kerana mitos menjadi penghalangan untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya,” ujar beliau.

Antara mitos yang lazim adalah kepercayaan bahawa jerawat berkait dengan makanan, tekanan atau stress, bercinta, dan juga resdung.

Selain itu, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa jerawat hanya melibatkan remaja.

Sebenarnya, orang dewasa juga boleh mengalami masalah jerawat.

Beliau menjelaskan, ramai berpendapat bahawa jerawat adalah perkara biasa bagi remaja dan akan hilang secara sendiri tanpa rawatan.

“Sememangnya benar jerawat akan berkurangan dan hilang apabila seseorang itu mencapai umur dewasa tetapi, sekiranya jerawat tidak dirawat awal, ia akan meniggalkan parut yang kekal. Adalah lebik baik dan mudah untuk merawat jerawat dengan ubat daripada merawat parut yang kurang
berkesan dan mahal,” katanya.

Bagi mengatasi mitos ini, orang ramai perlu mengetahui fakta tentang jerawat seperti punca penyebab jerawat.

Jelas beliau, jerawat adalah bintik-bintik merah atau bernanah pada muka dan pada badan di sekitar bahu dan dada.

Ada empat faktor utama penyebab jerawat iaitu folikel atau pori rambut tersumbat, kelenjar lemak yang aktif, jangkitan bakteri, dan keradangan kulit. Selain itu, faktor genetik juga memainkan peranan.

Hasil kalian yang telah dijalankan oleh Dr Leelavathi besama pelajar perubatan UKM telah menunjukkan bahawa hampir 83 peratus orang yang ada masalah jerawat mempunyai ibu bapa yang telah mengalami masalah jerawat pada usia remaja mereka.

Risko untuk mendapat jerawat juga adalah tiga kali lebih tinggi sekiranya kedua-dua ibu bapa telah mengalami masalah jerawat.

“Jerawat juga boleh terjadi sekiranya seorang individu menggunakan kosmetik jenis comedogenic yang boleh menyumbat pori rambut pada kulit. Dengan mengetahui faktor-faktor penyebab ini, diharap bahawa orang ramai akan lebih arif dan mendapatkan rawatan awal untuk megatasi masalah jerawat justeru mengelakkan komplikasi parut,” kata beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast