KUALA LUMPUR – Modus operandi mereka mudah, hanya menggunakan gambar produk perniagaan orang lain untuk menipu pelanggan demi mengaut keuntungan.

Itu taktik licik scammer kayu yang didedahkan Presiden Persatuan Persatuan Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (Peka), Farosham Naizamohideen, yang mana penipuan itu menyebabkan pengusaha perabot kayu kerugian RM5.4 juta.

Bercakap secara eksklusif kepada MalaysiaGazette, Farosham berkata, penipuan ini berlaku disebabkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan penipuan melalui penjualan produk perabot kayu dan ukiran kayu yang tidak berkualiti sama ada secara fizikal atau atas talian.

“Penipuan ini mula dikesan 10 tahun lalu, namun ia hanya dilakukan melalui penjualan secara fizikal di kedai perabot.

“Namun scammer kayu ini semakin berani apabila secara terang terangan kini memperdayakan pelanggan dengan memaklumkan produk yang dijual murah namun berkualiti tinggi. Penipuan ini dilakukan melalui dalam talian,” katanya.

Farosham berkata, pihaknya mengambil serius dan amat kesal dengan tindakan pihak  tidak bertanggungjawab ini yang mengambil kesempatan terutama pada musim perayaan.

Penipuan ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada industri, seterusnya menyebabkan pengusaha menerima tekanan daripada pelanggan yang menggunakan harga yang tidak munasabah dengan merujuk harga ditawarkan scammer kayu ini.

“Ada scammer kayu ini turut menyalahgunakan gambar yang dipromosikan oleh pengusaha perabot dan ukiran kayu tempatan asli dengan meletakkannya dalam platform jualan barangan atas talian kendalian mereka.

“Lebih membimbangkan, terdapat lebih 1,000 pengusaha perabot dalam kalangan warga asing yang menguasai pasaran secara fizikal dan dalam talian yang menjual perabot dengan harga mahal tetapi dengan kualiti rendah,” kata Farosham.

 

Farosham Naizamohideen

Justeru itu, Farosham meminta agar Lembaga Perindustrian Kayu (MTIB) menguatkuasakan lesen pengusaha kedai perabot bagi memudahkan pemantauan dan membendung isu penipuan atau scammer kayu dalam penjualan perabot kayu serta ukiran kayu.

Katanya, pada masa ini lesen perniagaan kedai perabot tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peka telah memohon supaya MTIB mewujudkan lesen kedai perabot, namun terdapat kekangan apabila akta MTIB hanya memfokuskan aspek produk perkayuan sedangkan perabot berkenaan turut mengandungi material lain seperti besi.

“Kami juga berharap kerajaan dapat menguatkuasakan lesen ini di bawah MTIB bagi memastikan hak pengusaha dan pengguna terbela” katanya lagi.

Untuk langkah jangka pendek, Peka turut memerangi isu scammer kayu dengan mengambil inisiatif termasuk mengadakan kempen kesedaran antaranya Product Spotlight yang memperkenalkan syarikat sah dan berdaftar di bawah persatuan.

Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 252 syarikat berdaftar di bawah Peka yang memasarkan produk berasaskan kayu secara sah di seluruh negara.

Bagi mengelakkan daripada ditipu scammer kayu, Farosham menasihatkan orang ramai menyemak pendaftaran mana-mana syarikat kayu di laman sesawang www.pekapgrm.com terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan syarikat atau pengusaha perabot kayu dan ukiran kayu.

Farosham juga menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak munasabah menerusi iklan di laman sosial.

“Harga biasanya bergantung kepada reka bentuk, bahan, dan kualiti produk. Misalnya set sofa biasa anggaran harga dalam RM2,000 ke atas manakala jenis Chesterfield kira-kira RM3,000 ke atas.

“Pengguna perlu cakna dan mereka yang tertipu perlu berani tampil membuat laporan berserta bukti kepada pihak berkuasa bagi memudahkan siasatan,” nasihat Farosham. – MalaysiaGazette