Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aktiviti pasaran harta tanah pada suku ketiga 2023 menunjukkan pertumbuhan positif dengan mencatatkan 108,955 transaksi bernilai RM57.15 bilion, kata Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Abdul Razak Yusak.

Beliau berkata, peningkatan bilangan sebanyak 3.7 peratus itu diimbangi dengan kenaikan ketara nilai iaitu 22.6 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan pertambahan pindah milik menerusi jualan utama dalam negara.

“Subsektor kediaman terus menyokong keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dengan mencatat 62.9 peratus iaitu 68,561 transaksi bernilai RM28.36 bilion daripada keseluruhan transaksi.

“Ini diikuti dengan sumbangan subsektor pertanian sebanyak 18.5 peratus dan gabungan subsektor perdagangan dan subsektor lain iaitu 18.6 peratus,” katanya ketika berucap bersempena dengan penerbitan pasaran harta tanah suku ketiga 2023 dan pelancaran Data Transaksi Terbuka Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) secara dalam talian hari ini.

Abdul Razak berkata kediaman teres masih menjadi pilihan pembeli dengan memperoleh 29,755 transaksi, sekali gus menyumbang sebanyak 43.4 peratus daripada keseluruhan transaksi kediaman.

Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah pula masih mendominasi aktiviti pasaran dengan merekodkan 52.4 peratus atau hampir 35,948 transaksi, diikuti kediaman berharga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 24.7 peratus (16,947 transaksi) dan selebihnya unit berharga RM500,001 ke atas iaitu 15,666 (22.9 peratus) transaksi, katanya.

Menurut Abdul Razak, pelancaran kediaman baharu pada suku ketiga merekodkan peningkatan hampir 6,900 unit berbanding 4,797 unit pada suku kedua 2023.

Prestasi jualan pelancaran baharu pula berjumlah 37.6 peratus berbanding 24.7 peratus pada suku sebelumnya dengan Selangor mencatat jumlah pelancaran baharu tertinggi di negara ini iaitu 2,491 unit atau 36.2 peratus daripada jumlah di seluruh negara.

Mengikut lingkungan harga, pelancaran baharu berharga RM300,000 dan ke bawah mendominasi lebih 70.0 peratus (5,075 unit) dengan prestasi jualan lebih baik iaitu 44.1 peratus, diikuti RM300,001 hingga RM500,000 iaitu 11.8 peratus (813 unit) dan RM500,001 dan ke atas berjumlah 993 unit atau 14.4 peratus.

Abdul Razak berkata prestasi kediaman siap dibina tetapi tidak terjual bertambah baik apabila menyusut pada suku ketiga 2023 sebanyak 3.7 peratus (25,311 unit) dan nilai pada 4.9 peratus (RM17.40 bilion) berbanding suku sebelumnya.

“Hampir 62.2 peratus daripada lambakan kediaman ini merupakan kondominium atau pangsapuri dan 55 peratus daripadanya berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Terdapat lebih 22,000 unit lambakan pangsapuri khidmat bernilai RM18.24 bilion pada suku ketiga 2023 yang mencatatkan penurunan bilangan dan nilai iaitu masing-masing pada 1.5 peratus dan 4.7 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata 61.2 peratus daripadanya berharga RM500,000 dan ke atas dengan sebahagian besar daripada kediaman itu terletak di Johor.

Sementara itu, Abdul Razak berkata harga kediaman di Malaysia menunjukkan keadaan yang stabil dengan mencatat kenaikan minimum.

Indeks Harga Rumah Malaysia berada pada 212.6 mata (RM458,751 seunit) dengan pertumbuhan tahunan yang kecil pada kadar 0.1 peratus pada suku ketiga 2023, katanya.

“Semua negeri mengalami pertumbuhan sederhana antara 0.1 peratus hingga 4.0 peratus, kecuali Selangor, Pahang, Kelantan dan Sarawak yang menunjukkan penurunan antara 0.7 peratus hingga 1.6 peratus,” katanya.

Sementara itu, JPPH dalam kenyataan berkata JPPH melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) telah maju selangkah dengan pelaksanaan Data Transaksi Terbuka yang boleh diakses melalui portal Napic.

Pelaksanaan Data Transaksi Terbuka ini adalah selaras dengan inisiatif kerajaan dalam Data Terbuka Sektor Awam (DTSA), yang meliputi paparan 12 atribut data transaksi harta tanah dan tersedia di portal Napic, katanya. – BERNAMA