GEORGE TOWN – Kertas siasatan berhubung kes seorang pegawai dan enam anggota di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor mencuri barangan milik seorang lelaki di Air Itam di sini telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, IPK akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada pihak Bukit Aman.
“Kita telah melakukan siasatan dan kertas siasatan dirujuk kepada IPK untuk akan diserahkan kepada ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.
“Memandangkan kes itu membabitkan anggota dan pegawai polis, kertas siasatan akan diserahkan kepada Bukit Aman terlebih dulu sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.
Media pada Ahad lalu melaporkan seorang pegawai dan enam anggota polis yang dipercayai bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor ditahan reman sehari selepas didakwa mencuri barangan milik seorang lelaki pada 10 November lalu.
Lelaki berusia 40 tahun berkenaan yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Selayang, Selangor yang tinggal di Air Hitam di sini, sebelum itu ditahan polis pada 27 Oktober lalu.
Sebaik dibebaskan mangsa yang pulang ke rumah mendapati barangan elektrik dan barangan lain hilang disyaki dicuri pasukan polis yang melakukan serbuan itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan kes dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette