KUALA LUMPUR – Anak kepada komposer Ajai, Ayu Nazirah menepis dakwaan yang menyalahkan aktres, Datin Maria Farida sebagai punca pergaduhannya dengan ibunya, Nourul Depp.
Jelas Ayu, 25, konfliknya dengan Nourul sudah berakhir apabila dia telah memohon maaf.
Namun dia kecewa terdapat segelintir pihak menuduh Maria yang merupakan ibu kepada teman lelakinya sebagai punca keretakan hubungannya dengan ibu kandung sendiri.
“Baru-baru ini, bapa saya ada ditemubual mengenai isu tersebut tetapi salah satu media menulis tajuk yang salah. Jadi, saya nak betulkan keadaan.
“Ya, memang ada pergaduhan dengan ibu tetapi saya sudah meminta maaf. Di sini, saya nak jelaskan bahawa Datin Maria bukan penyebab (perbalahan) tersebut,” katanya dalam sebuah video Instagram.
Ayu menambah, apa yang yang berlaku antara dia dan Nourul bersifat peribadi dan meminta orang ramai memberi ruang yang sewajarnya kepada mereka.
Dia juga memohon pihak media berhenti daripada menulis sebarang kenyataan yang tidak benar mengenai konflik tersebut selain menuduh individu tidak bersalah.
“Semua yang terjadi biarlah hanya antara saya dan ibu. Harap semua dapat menghormati perkara tersebut. Saya juga minta mana-mana platform media berhenti menyebarkan fitnah dan menuduh seseorang yang tidak bersalah kerana Datin Maria sangat baik dengan saya.
“Tolong hentikan segala dakwaan mengarut berkaitan isu ini. Saya dan ibu sudah berbaik dan harap kami dapat teruskan hidup dengan ruang privasi yang sepatutnya,” jelasnya.
Baru-baru ini, Ajai dalam satu temu bual mendedahkan hubungan Ayu dan bekas isterinya, Nourul sudah kembali pulih serta menganggap situasi tersebut adalah normal.
Terdahulu, Nourul yang terkenal menerusi lagu Kerana Terluka mengakui wujud konflik dan perselisihan faham antara dia dan anaknya yang berusia 23 tahun itu menyebabkan dirinya terasa hati.
Perkara itu mencetuskan tanda tanya ramai sehingga timbul dakwaan Maria yang ketika itu rapat dengan Ayu merupakan punca konflik tersebut. – MalaysiaGazette