Thinalan T. Rajagopalu

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran digesa lebih matang dalam politik dengan tidak mengeluarkan kenyataan berbaur sensasi untuk kepentingan diri semata-mata.

Menurut Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu, tindakan Prabakaran yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan yang menyeru MIC untuk kekal relevan dan menuduh tuntutan pengiktirafan sebagai ugutan adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan tergesa-gesa Prabakaran sepatutnya memahami terlebih dahulu konteks keseluruhan ucapan serta pendirian pemimpin MIC di dalam Perhimpunan Agung Ke-77  semalam.

“Ingatlah, Kerajaan Perpaduan yang memerintah hari ini adalah hasil nasihat Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang ingin mengakhiri kemelut politik negara pasca PRU-15. Pelbagai parti politik yang sebelum ini merupakan seteru dengan dasar berbeza bergabung demi kestabilan politik dan negara.

“Sudah jadi keperluan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diangkat sebagai Perdana Menteri memastikan konsensus yang dicapai dengan memberi perhatian kepada keperluan dan tuntutan setiap parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Jahil sama sekali untuk menyamakan tuntutan pengiktirafan sebagai ugutan terhadap Perdana Menteri. Pengiktirafan disuarakan MIC bukanlah menjurus kepada tuntutan jawatan sebaliknya tindakan proaktif kerajaan terhadap isu-isu masyarakat India yang memerlukan tindakan dan penyelesaian. Tolong faham dulu isu wahai Prabakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Thinalan, apa yang disuarakan pimpinan MIC juga berkait dengan lawatan rasmi Anwar ke ibu pejabat MIC beberapa bulan lepas.

Terdahulu, Prabakaran dalam kenyataan hari ini berkata, apa jua pengiktirafan dan tuntutan perlu melalui Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam dalam AGM ke-77 MIC, Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan memberitahu parti itu menyokong kerajaan hari ini atas titah YDPA walaupun tidak meminta sebarang jawatan namun menggesa supaya parti itu diberikan pengiktirafan.

Kata Thinalan lagi, sebagai pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri bukanlah seseorang yang perlu kebal daripada sebarang kritikan dan tuntutan.

“Tetapi kita juga tahu rasional bagi setiap kritikan itu, setiap tuntutan perlu membina dan berkepentingan rakyat. Untuk makluman juga, MIC sudah memperjuangkan nasib masyarakat India selama hampir lapan dekad tidak pernah berganjak dari menyuarakan keperluan dan isu masyarakat dengan ataupun tanpa memegang jawatan kerajaan.

“Ulasan Prabakaran agar sebarang permintaan MIC kepada Perdana Menteri harus dibuat melalui BN juga bersifat menidakkan akses dan hak MIC sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Jelasnya, Anwar sendiri lebih mempamerkan sikap terbuka dalam konteks politik matang namun segelintir pemimpin lain seperti Prabakaran cuba menjadi Little Napoleon bagi mengejar agenda peribadi dan populariti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast