ALOR GAJAH – Seorang pelajar semester satu, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah cedera selepas terlibat dalam pergaduhan dengan pelajar lain, Jumaat lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, laporan diterima warden kolej berkenaan pada pukul 9.10 malam.
“Mangsa pelajar semester satu yang cedera ringan kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut sebelum laporan polis dibuat pada 6 petang keesokan harinya.
“Bagaimanapun, pelajar berkenaan dibenarkan keluar hospital pada pukul 5.45 petang semalam dan kes masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pihak KKTM juga sedang melakukan siasatan lanjut di peringkat kolej.
“KKTM juga akan laksanakan tindakan disiplin sekiranya pelajar terlibat didapati bersalah mencetuskan pergaduhan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes bagaimanapun tidak melibatkan elemen buli atau unsur gangsterisme,” katanya enggan mengulas lanjut. – MalaysiaGazette