KUALA LUMPUR – Kem Mutawif Integrasi Haramain (KMIH) melakar sejarah apabila berjaya melahirkan graduan pertama seramai 42 mutawif dan mutawifah yang diiktiraf.
Pengasas KMIH, Abdullaah Feisal, apa yang menarik tidak semua graduan itu memiliki lulusan dalam pendidikan agama namun potensi menyertai kerjaya tersebut.
Beliau memberitahu, selepas ini, para graduan akan menjalanilatihan praktikal di Mekah dan Madinah di mana bakal mutawif dan mutawifah akan merasai sendiri pengalaman mengendalikan jemaah di sana.
“Penganjuran KMIH ini pertama kali diadakan bagi memberikan pendedahan dan pengalaman sebenar kepada pelatih serta bukan sekadar memberi penekanan kepada ilmu semata-mata.
“Saya mengambil masa selama lapan tahun sebelum menganjurkan program KMIH dan alhamdulillah seramai 20 orang mutawif dan 22 mutawifah berjaya dianugerahkan sijil penyertaan dan pengesahan profesional.
“Apa yang menarik, program kami lebih menekankan latihan praktikal mengendali jemaah di Mekah dan Madinah di mana bakal mutawif dan mutawifah juga akan menunaikan umrah,” katanya pada majlis graduasi KMIH di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abdullah menambah, KMIH terbuka kepada semua yang berminat untuk menceburi kerjaya mutawif dan mutawif walaupun memiliki latar belakang kerja yang pelbagai sebelum ini.
Program itu bertujuan memberi peluang kepada semua yang mempunyai impian menjadi mutawif dan mutawifah bermula seawal usia 18 tahun dan tanpa had umur.
“Setiap peserta wajib mengikuti modul pelajaran yang disediakan sebelum berlepas ke Tanah Suci selama dua bulan. Peluang kerjaya sebagai mutawif dan mutawifah cukup luas disebabkan permintaan yang cukup tinggi daripada agensi umrah dan orang perseorangan.
“Malah ada antara peserta kami daripada golongan professional dan kini menjadi mutawifah sepenuh masa,” katanya.
Sementara itu, Abdullah berharap KMIH dapat menjalin kerjasama dengan kerajaan dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan mengiktiraf sijil yang dikeluarkan pihaknya.
Ini kerana katanya, setiap modul latihan yang diguna pakai sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut Prosedur Operasi Standard negara Malaysia dan Arab Saudi. – MalaysiaGazette