PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan telah membangun dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) untuk penahanan, pemeriksaan dan pelepasan kontena pada 1 Mei 2022.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia bagi mengatasi kelewatan pelepasan kargo di Pelabuhan-pelabuhan Persekutuan.
Beliau berkata, penahanan kontena oleh Other Government Agencies (OGA) atau Permit Issuing Agencies (PIA) telah memberikan implikasi kepada daya saing negara dan produktiviti pelabuhan.
“Ia juga menyebabkan komuniti pedagang mengalami kerugian dalam jumlah yang besar.
“Berdasarkan SOP itu, OGA atau PIA perlu melepaskan kontena dalam masa tiga hari kecuali kontena terbabit disita atau memerlukan pemeriksaan lanjut berdasarkan statutory requirements,” katanya.
Jelasnya, sebelum penguatkuasaan SOP, hanya 70 hingga 75 peratus kontena sahaja dilepaskan selepas pemeriksaan dalam tempoh tiga hari bekerja.
“Sejak penguatkuasaan SOP, OGA atau PIA melepaskan kontena yang ditahan dalam masa tiga hari dengan pelepasan kontena mencecah paras 92 peratus untuk tempoh 1 Mei 2022 sehingga 31 Ogos 2023 di Pelabuhan Klang.
“Peningkatan pelepasan kontena menunjukkan SOP ini memperkemas prosedur penahanan, pemeriksaan dan pelepasan kontena di Pelabuhan Klang dengan penyeragaman proses kerja di kalangan OGA atau PIA.
“SOP penahanan, pemeriksaan dan pelepasan kontena akan diperluaskan kepada Pelabuhan-pelabuhan Persekutuan yang lai.
“Ia bagi meningkatkan produktiviti pelabuhan dan daya saing negara bermula 1 Januari 2024,” katanya lagi. – MalaysiaGazette