Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali melawat pameran aset bagi bencana pada Majlis Madani Siaga “ Singap Pertahanan Awam : Siaga MTL” 2023/2024 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 22 NOVEMBER 2023.

KAJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menubuhkan Pasukan Respon Bencana Sokongan (PARAS) sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko bencana Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, seramai 5,120 orang anggota APM diletakkan di dalam pasukan berkenaan yang mana mereka akan bertugas merentasi daerah atau pun negeri khususnya di Kelantan, Terengganu, Johor dan juga Pahang.

Katanya, pasukan itu akan bersedia untuk digerakkan sbagai pasukan tindak balas yang akan merentasi negeri dan daerah pada bila-bila masa diperlukan.

“Bagi negeri Pahang, pasukan PARAS yang akan membantu adalah daripada Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur (PULAPAT) dan Negeri Sembilan manakala Johor pula akan dibantu pasukan PARAS Melaka dan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS).

“Penubuhan PARAS merupakan antara strategi penambahbaikan dalam meningkatkan kesiapsiagaan bencana di seluruh negara.

“Mereka ini bukan sahaja anggota tetapi juga ahli-ahli (APM) yang sedang mengikuti latihan di pusat-pusat latihan. Mereka akan membantu agansi-agensi kerajaan dinegeri-negeri yang memerlukan pasukan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Madani “Sigap Pertahanan Awam:Siaga MTL” di Ibu Pejabat APM, di sini hari ini.

Menurut Armizan, langkah penubuhan pasukan berkenaan adalah selepas mengambil kira pengalaman menghadapi bencana alam di beberapa negeri sebelum ini.

Dalam pada itum beliau berkata, seramai 14,840 orang yang terdiri daripada 1,203 pegawai dan 13,637 anggota bersedia untuk berdepan dengan situasi MTL pada ketika ini.

Jelanya, APM turut menyediakan kekuatan aset air dengan sebanyak 991 buah bot dan 675 aset darat bakal digerakkan mengikut keperluan. – MalaysiaGazette