Gambar hiasan

SEREMBAN – Empat beranak berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki enam lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Lenggeng, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata, seorang daripada mangsa iaitu lelaki berusia 32 tahun menyatakan semasa dia dan isteri serta dua anak perempuannya sedang tidur di bilik utama kira-kira 2.30 pagi, mereka didatangi suspek berkenaan yang mengacukan parang terhadapnya.

“Mereka kemudiannya mengikat tangan dan kaki mangsa sekeluarga. Hasil siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai memasuki rumah pengadu melalui satu pintu rumah terbabit.

“Mangsa dan keluarga tidak dicederakan dan suspek hanya melarikan wang tunai dan barang kemas dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Abdul Malik meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes supaya menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Daerah Nilai melalui talian 06-7904389. – BERNAMA