Ikmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan perolehan tender terbuka jenama antarabangsa bagi pakaian sukan untuk anggota tentera yang baru berkhidmat.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mendakwa, ketika ini anggota dibekalkan pakaian dan kasut sukan “cap ayam” kerana ia tidak berjenama serta tiada kualiti.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan sepatutnya berupaya menyediakan pakaian sukan berjenama antarabangsa dan berkualiti dengan peruntukan besar.

“Jika kita lihat di negara jiran, Singapura, negara itu menggunakan pakaian sukan berjenama antarabangsa untuk tenteranya.

“Saya difahamkan ketika ini, Mindef melaksanakan perolehan bagi pakaian sukan termasuk kasut dan stokin sukan untuk barangan yang tiada jenama.

“Dalam bahasa pasar, kita panggil ‘cap ayam’ atau kurang bermutu,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undnag-undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham berkata, tambahan RM140 juta yang diperuntukkan bagi perbekalan pakaian anggota pada tahun depan dan jika ditambah peruntukan tahun ini, secara keseluruhan bernilai RM280 juta.

Justeru, beliau percaya Mindef dapat menyediakan pakaian sukan berkualiti tinggi dan mempunyai jenama antarabangsa dengan kos berkenaan.

“Jika boleh nama syarikat pembekal pakaian sukan ini dinyatakan dan jika boleh didedahkan kepada umum,” katanya. – MalaysiaGazette